Bubur lambuk sembilan jenis daun kayu juadah istimewa raya enam

Iklan
Hasimie bersama isterinya menggunakan sembilan jenis daun kayu untuk menghasilkan bubur lambuk.

KUALA TERENGGANU - Kesukaran mendapatkan bubur lambuk pada hari selain Ramadan mendorong seorang lelaki mempelajari kaedah pembuatan bubur lambuk ramuan asli Terengganu sehingga ia mampu dikomersialkan.

Malah, juadah istimewa yang dihasilkan Hasimie Mohd Razali, 46, itu turut dipasarkan di beberapa buah kedai jualan sarapan pagi di sekitar daerah Kuala Terengganu hampir saban hari.

Iklan
Iklan

"Pada mulanya saya buat bubur lambuk ini sebab suka makan sahaja. Tetapi nak dapatkan bubur lambuk susah.

"Jadi dari situ saya mula belajar dan buat sendiri bubur lambuk ini.

Iklan

"Saya bersyukur sebab sambutan diterima amat memberangsangkan malah sempena Syawal ini, saya sudah menerima beberapa tempahan untuk dijadikan juadah ketika meraikan sambutan ‘raya enam’.

Masliana menunjukkan bubur lambuk yang telah siap dibungkus dan akan dihantar kepada pelanggan.

"Insya-ALLAH raya kelima kami akan buka semula tempahan untuk mereka yang inginkan bubur lambuk,” katanya.

Iklan

Jelasnya, setakat ini proses pembuatan, pembungkusan dan penghantaran bubur lambuk itu dibantu isterinya, Masliana Ibrahim, 48 di Kampung Losong Lebai Salleh, di sini.

"Saya mula buat bubur lambuk ini secara serius pada Ogos tahun lepas.

"Alhamdulilah setiap hari sambutan diterima semakin baik dan pelanggan juga bertambah.

"Mula-mula saya buat dalam 30 bekas sahaja, tapi sekarang dalam sehari saya boleh jual 70 bekas," ujarnya.

Menurut Hasimie, kepakaran membuat bubur lambuk diperoleh hasil tunjuk ajar daripada individu yang mahir membuat juadah itu di Kampung Chabang Tiga.

Masliana membungkus bubur lambuk sementara Hasimie mencedok juadah itu daripada periuk yang dimasak di Kampung Losong Lebai Salleh, Kuala Terengganu.

"Lagi banyak daun kayu lagi sedaplah bubur lambuk. Saya akan guna sembilan jenis daun iaitu daun kesum, kemangi, pucuk midin, cekur manis, daun kunyit, congkok, peria pantai, kaduk dan ulam raja,” jelas Hasimie.

Hasimie memberitahu, berdasarkan perancangan jangka panjang, mereka berdua berhasrat membuka premis bagi memproses bubur lambuk.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28