NEW YORK - Seorang lelaki ditahan pada Jumaat selepas didakwa menikam rakannya sehingga maut di New York, Amerika Syarikat dan menyimpan mayat mangsa di dalam peti sejuk di rumahnya selama dua tahun.
Nicholas McGee, 45, didapati bersalah atas tuduhan membunuh, merompak, menyembunyikan mayat rakannya Kawsheen Gelzer dan menyembunyikan bahan bukti.
Kejadian dipercayai berlaku pada Mac 2022, menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Peguam Daerah Brooklyn, Eric Gonzalez.
Menurut dokumen yang dikemukakan di mahkamah dan didedah pada umum pada Jumaat, McGee didapati membunuh Kawsheen Gelzer dalam kejadian berkaitan dadah.
Siasatan lanjut mendapati McGee menikam Gelzer beberapa kali ketika mangsa sedang tidur di atas sofa di rumah tertuduh dan mencuri dadah dalam poket seluar rakannya itu.
McGee kemudian memotong mayat Gelzer dan menyimpannya dalam peti sejuk di rumahnya selama dua tahun.
Isteri McGee, Heather Stines, 45, juga didakwa atas kesalahan menyembunyikan mayat serta bahan bukti selain menghalang penguatkuasa menjalankan tugas. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28