Hamzah hubungi Ismail Haniyeh ucap takziah

Iklan
Tangkap layar video menunjukkan Hamzah menghubungi Ismail pada Jumaat.

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mewakili parti pembangkang menghubungi pemimpin utama gerakan Hamas, Ismail Haniyeh bagi menyampaikan ucapan takziah pada Jumaat.

Beliau berkata, ia berikutan kematian tiga anak lelaki Ismail bersama empat cucunya pada hari pertama Aidilfitri lalu dalam serangan udara oleh rejim Israel.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perlakuan jijik rejim Zionis tersebut perlu dikecam sekeras-kerasnya dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada rakyat Malaysia terhadap perjuangan suci warga Palestin sepatutnya dinyatakan.

"Sesungguhnya segala cabaran dan kesukaran yang dialami di Malaysia tidak seberapa berbanding apa yang ditempuhi oleh mereka setiap hari.

Iklan

"Menerusi panggilan telefon hampir 15 minit itu, Ismail menegaskan bahawa kesyahidan ahli keluarganya dan mereka yang tidak berdosa tidak akan sesekali mematahkan semangat serta memadamkan api perjuangan rakyat Palestin.

"Mereka tidak akan berganjak walau seinci pun dan akan terus mempertahankan serta memperjuangkan hak mereka sehingga hembusan nafas yang terakhir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Ismail kehilangan tiga anak lelakinya iaitu Hazen, Amir dan Muhammad serta beberapa cucu akibat terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Terbaharu, media antarabangsa memaklumkan, sejak bermulanya kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada 7 Oktober 2023, lebih 33,360 rakyat Palestin terbunuh dan 75,993 cedera.

Hamzah turut meminta semua pihak untuk terus berdoa supaya rakyat Palestin sentiasa dirahmati dan diberikan kecekalan serta kekuatan berdepan rejim keji aparteid Israel yang biadab sehingga melampaui segala batas kemanusiaan.

"Walaupun berada jauh dari bumi Palestin, kami turut bersama merasai penderitaan atau keperitan mereka dalam perjuangan menuntut hak dan kebenaran atas nama agama serta tanah air mereka,” ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!