Terima kasih Felda United!

Iklan
B Sathianathan

FELDA United kini tidak lagi berhutang dengan bekas Ketua Jurulatih skuad The Fighters, B Sathianathan selepas melunaskan bayaran tunggakan gajinya.

Sathianathan berterima kasih terhadap komitmen ditunjukkan pihak pengurusan Felda United yang turut menyelesaikan tunggakan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Iklan
Iklan

"Saya nak ucap terima kasih kerana Felda United tunaikan janji dan serius untuk membayar hutang-hutang yang tertunggak selama ini bukan sahaja kepada saya, malah difahamkan Felda United turut melangsaikan hutang kepada pemain yang terlibat.

"Tentang berapa jumlah hutang yang dibayar Felda kepada saya itu, tak perlu saya beritahu. Apa yang boleh saya katakan, semua urusan hutang sudah selesai dan ia dibuat mengikut jadual yang ditetapkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).

Iklan

"Ini membuktikan komitmen tinggi pihak pengurusan Felda United dalam melangsaikan hutang yang tertunggak. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Awal tahun lalu, Sathianathan yang membimbing Felda United selama dua musim sejak 2017 dilapor menyerahkan afidavit kepada FAM berhubung kegagalan bekas majikannya itu melangsaikan tunggakan gaji dan baki yuran perpindahan yang masih belum diselesaikan.

Iklan

Terdahulu, Setiausaha Kehormat Felda United, Afizal Abu Othman berkata, hutang yang mencecah jutaan ringgit itu selesai sepenuhnya bulan lalu setelah pihaknya membuat pembayaran secara berperingkat mulai penghujung tahun 2018.

"Saya sendiri pergi berjumpa dengan Sathiananthan di padang latihan selain ada beberapa kakitangan (Felda United) yang menemui Syamim (Yahya) di Terengganu dan Shukor Adan di Melaka.

"Kita juga sentiasa berhubung dengan mereka. Kita beritahu mungkin (pembayaran hutang) lambat sedikit dan minta mereka mendoakan supaya segala urusan dipermudah dan dipercepatkan," katanya.