KLANG - Tidak perasan lampu isyarat merah dan tidak sedar kehadiran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertugas di lokasi antara alasan diberi pengguna jalan raya selepas ditahan di Jalan Kapar, di sini pada Jumaat.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, kesalahan itu dilakukan menerusi Op Penyamaran Lampu Isyarat sempena Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 bermula jam 3.30 petang.
"Pemandu beri alasan tidak perasan lampu merah, tidak nampak ada anggota JPJ di seberang jalan (bertugas)," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mengulas lanjut katanya, operasi selama dua jam itu telah mengeluarkan 94 notis saman atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata, berdasarkan pecahan, kesalahan teknikal paling banyak dikesan iaitu 18 kes, cukai jalan tamat tempoh (15 kes), tiada lesen memandu kompeten (CDL) (15 kes), tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) (15 kes) serta tidak patuh lampu isyarat (14 kes).
"Selebihnya lain-lain kesalahan seperti tidak pakai topi keledar, lebih muatan dan tiada perlindungan insurans," katanya
Beliau berkata, sebuah lori jenis 'Luton Box' turut disita kerana pemandu tiada lesen serta cukai jalan tamat tempoh.
Sementara itu katanya, JPJ Selangor akan menjalankan penguatkuasaan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan dan advokasi kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya di musim perayaan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28