Pengguna mahu bantu peniaga tempatan, rancak ekonomi negara

Iklan
Laporan muka depan Sinar Ahad. Gambar kecil dari kiri: Lim Ah Nee, S. Amutha, Azizul, Liu Jiun Er

SHAH ALAM - Pembelian barangan buatan Malaysia bukan semata-mata menyahut kempen memboikot produk keluaran syarikat luar tetapi bertujuan untuk membantu peniaga tempatan sekali gus merancakkan ekonomi negara.

Seorang kakitangan awam, Lim Ah Nee, 49, berkata, hampir semua barangan keperluan di rumahnya menggunakan produk Malaysia antaranya perabot, alat elektrik dan makanan.

Iklan
Iklan

Katanya, hanya barangan yang tidak dikeluarkan dalam negara sahaja memaksa dia membeli produk dari luar negara seperti komputer riba.

"Saya rasa produk tempatan kita berkualiti dan bermutu seperti luar negara juga. Malah kita dapat berjimat kerana harga barangan tempatan jauh berpatutan.

Iklan

"Jika membeli barangan tempatan, kita tidak perlu membayar cukai import dan dipengaruhi kadar tukaran wang yang meningkat pada masa kini. Kita juga dapat membantu peniaga tempatan membangunkan lagi perniagaan mereka,” ujarnya.

Seorang peniaga, Azizul Nizam Ali, 49, berpendapat, produk tempatan sebenarnya berkualiti tetapi kurang promosi menyebabkan orang ramai tidak membeli barangan itu.

Iklan

"Kerajaan perlu memperbanyakkan lagi Kempen Beli Barangan Malaysia bagi memastikan produk tempatan lebih dikenali.

"Produk tempatan yang saya beli adalah kenderaan buatan Malaysia, kasut, pakaian serta makanan,” ujarnya.

Bagi Amutha Sinnappen, 46, menyokong atau membeli barangan keluaran tempatan bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi negara malah membuktikan rasa sayang dan cintakan tanah air.

Dia sebagai suri rumah banyak membeli barangan keperluan harian daripada produk tempatan antaranya Ramly, Ayamas, Saji dan lain- lain.

"Pada pendapat saya, kualiti produk tempatan memuaskan tetapi tidak 100 peratus bagi semua produk,” katanya.

Seorang guru tuisyen, Liu Jiun Er, 26, pula memberitahu, membeli barangan buatan luar negara kadang-kadang bukan disebabkan kualiti tetapi jenama sesuatu produk.

Menurutnya, terdapat individu yang menganggap membeli jenama terkenal di pasaran dapat menunjukkan kedudukan mereka yang berduit.

"Saya dan keluarga akan dahulukan produk buatan Malaysia. Saya sendiri beli kereta buatan Malaysia. Lihat model kereta Proton terbaharu, sangat cantik dan selesa. Harganya juga jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kereta jenama lain.

"Apabila membeli barangan buatan Malaysia, kita dapat bantu meningkatkan ekonomi negara sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.