TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tegaskan rejimnya bersedia 'untuk sebarang senario' ketika Iran melancarkan berpuluh-puluh dron ke atas Israel.
Menurut Netanyahu, sistem pertahanan mereka sudah dalam keadaan siap siaga, sejak beberapa minggu lalu.
Mesej ini disampaikan Netanyahu menerusi siaran televisyen.
Israel berkata pada Sabtu bahawa pesawat tanpa juruterbang Iiran telah dilancarkan dan sistem pertahanan bersedia untuk menembak jatuh atau membunyikan siren mengarahkan penduduk di mana-mana kawasan yang terancam untuk berlindung.
"Rakyat Israel, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan terutamanya dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Israel telah bersiap sedia untuk serangan terus oleh Iran," katanya.
Menurut Netanyahu, Israel telah bersiap sedia untuk serangan Iran dan menyatakan prinsipnya dengan jelas, mereka akan terus menyerang mana-mana pihak yang melancarkan serangan ke atas mereka.
"Kami telah menentukan satu prinsip yang jelas: sesiapa yang mencederakan kami, kami akan mencederakan mereka. Kami akan mempertahankan diri kami daripada sebarang ancaman dan akan melakukannya dengan tegas dan tekad.
"Saya menyeru rakyat Israel untuk mengikuti arahan IDF Home Front Command. Bersama-sama kita akan berdiri dan dengan pertolongan Tuhan, bersama-sama kita akan mengatasi semua musuh kita," katanya.
Dalam pada itu, menurut ketua jurucakap tentera Laksamana Muda Daniel Hagari, penerbangan dron itu akan mengambil masa beberapa jam.
Dalam pada itu, pesawat 'Wing of Zion', milik Israel, akan digerakkan dalam operasi kali ini. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28