SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kata carian Iran, Israel dan ‘World War III’ kini trending di laman sosial, X susulan Iran menyerang negara rejim Zionis itu pada Sabtu.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, kata carian Iran digunakan dalam hantaran sebanyak 3.1 juta kali.
Sementara itu, kata carian Israel pula digunakan dalam hantaran sebanyak 107,000 kali manakala 148,000 hantaran berkaitan World War III di aplikasi berkenaan.
Bukan itu sahaja, tinjauan Sinar Harian turut mendapati, rata-rata pengguna media sosial berkenaan berkongsi rakaman negara berkenaan menyerang pangkalan udara Israel dengan menggunakan peluru berpandu balistik.
Menurut @Pretmeena Iran melepaskan sebanyak 200 peluru berpandu dan serangan dron ke atas Israel dan hal itu boleh mencetuskan perang dunia ketiga.
"Video menunjukkan Pangkalan Udara Ramon di Negev, Israel terkena peluru berpandu balistik Iran.
Tuan-tuan dan puan-puan, ingat Iran sentiasa memberi cabaran yang sukar,” tulis Mr_Babarr.
"Iran berjaya menyasarkan Pangkalan Udara Ramon Israel dengan peluru berpandu balistik.
"Pangkalan ini telah berulang kali digunakan untuk melakukan pengeboman terhadap Syria dan penasihat Iran yang hadir di bumi Syria. Dalam erti kata lain, ini adalah pertahanan diri sebenar,” kata @Sahouraxo.
Sebelum ini, media melaporkan Iran melancarkan berpuluh-puluh serangan dron terhadap Israel pada Sabtu.
Bagaimanapun serangan dron itu mungkin mengambil masa beberapa jam sebelum mencapai sasarannya.
Dua sumber keselamatan di Iraq berkata, berpuluh-puluh dron telah dikesan terbang dari Iran ke arah Israel di atas ruang udara Iraq.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28