KOTA BHARU - Aidilfitri dua beradik termasuk seorang ibu tunggal suram apabila rumah mereka di Kamoung Baung hangus 100 peratus dalam kejadian Jumaat lalu.
Lebih menyedihkan apabila peralatan dan pakaian anak kedua-dua mereka yang sepatutnya mendaftar di pusat pengajian tinggi kini hanya tinggal debu.
Ibu tunggal, Rosniza Yusof, 45, berkata, dia terpaksa menangguhkan pendaftaran anaknya di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Machang berikutan kediamannya hangus dalam kejadian yang memusnahkan dua buah rumah di Kampung Baung pada Jumaat.
Menurut Rosniza, anaknya, Nurul Adlin Asyiqin, 20, sepatutnya mendaftar semester kedua Ijazah Sarjana Muda Muamalat pada Sabtu (semalam).
Turut musnah dalam kejadian itu ialah kediaman kakaknya, Rosnani Yusof, 49, yang hanya beberapa meter sahaja mengakibatkan kesemua ahli keluarga tinggal sehelai sepinggang.
Menceritakan kejadian berkenaan, Rosniza memberitahu, dia sedang tidur di dalam bilik kira-kira jam 12 tengah hari dan terdengar letupan kecil yang disangka kanak-kanak membakar mercun.
Jelasnya, beberapa minit kemudian, dia terdengar suara Rosnani menjerit memaklumkan api keluar dari atas bumbung rumah dan terus bergegas ke sebuah bilik di tingkat atas rumah itu.
"Sebaik membuka pintu bilik itu, api terus menyambar lengan kiri saya mengakibatkan luka melecur dan saya terus keluar selepas mengambil semua dokumen penting.
"Ketika itu saya mengarahkan semua anak-anak keluar rumah berikutan api merebak dengan cepat," katanya.
Rosniza yang juga pembantu kedai runcit memberitahu, rumah pusaka berusia lebih 40 tahun itu dibina 100 peratus daripada kayu.
Dalam kebakaran itu juga, seorang anak saudaranya, Muhd Harith Hakimi, 13, turut cedera di tapak tangan sebelah kiri dan pergelangan tangan kanan ketika berusaha masuk ke dalam rumah untuk mengambil barang.
Menurut Rosniza mereka kini menumpang di rumah ibu saudara yang berada di kampung sama.
Mereka menganggarkan jumlah kerugian akibat kebakaran ialah sebanyak RM250,000.
Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban Rosniza boleh berbuat demikian melalui Maybank di akaun 152059026448 atas nama Rosniza Yusof.