SHAH ALAM - Kumpulan Profesor Kesihatan dan Perubatan tidak bersetuju dengan cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) yang dibincangkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 2 April lalu.
Ketuanya, Profesor Dr Noor Hassim Ismail berkata, pelatih dan graduan menyertai program latihan Program Parallel Pathway (PPP) yang menganugerahkan kelayakan iaitu tidak boleh didaftarkan ke dalam Daftar Pakar Perubatan Malaysia.
Menurutnya, pendaftaran sebagai Doktor Pakar dan undang-undang semasa membolehkan mereka diserap ke dalam program tempatan melalui proses pemindahan kredit atau pemetaan kurikulum.
"Bagi pelatih yang masih dalam sistem pengajian, mereka boleh dipindahkan ke program universiti tempatan melalui proses yang sama.
"Adalah jelas bahawa dilema yang dihadapi oleh graduan 'Parallel Pathway' ini dapat diselesaikan tanpa perlu meminda Akta 50,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan, cadangan pindaan Akta 50 itu bertujuan menangani jurang antara PPP dan Program Sarjana Perubatan tempatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) di peringkat akhir pindaan dan berharap usaha ini akan membantu kerajaan dalam memperkasa serta mengawal selia kedua-dua program berkenaan.
Mengulas lanjut, tambah Noor Hassim, pelajar pasca siswazah menyertai program berkenaan tanpa mematuhi proses yang sewajarnya.
Ujarnya, tiada percubaan oleh penganjur program untuk mematuhi undang-undang apabila Akta Perubatan 2012 yang dipinda itu berkuat kuasa pada 1 Julai 2017.
"Universiti tempatan mesti memainkan peranan penting sebagai pemimpin dalam pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan teknologi.
"Universiti hendaklah memastikan pematuhan kepada piawai mengenai latihan profesional untuk Doktor Pakar serta pendidikan yang diperlukan untuk pembangunan personaliti,” jelasnya.
Noor Hassim menjelaskan pihak universiti tempatan perlu diperkasakan supaya menjadi tumpuan pendidikan tinggi dalam program kepakaran perubatan, menjadi pusat latihan dan mempunyai kemudahan penyelidikan.
Menurutnya, pemerkasaan berkenaan dapat memastikan bilangan kakitangan akademik terlatih mencukupi di setiap universiti bagi menjalankan program pasca siswazah.
"Ia juga menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan perubatan untuk pengambilan pelajar tempatan termasuk antarabangsa sekali gus membangunkan kepakaran ke arah pembangunan kemudahan perubatan.
"Ia untuk pendidikan perubatan pasca siswazah dan pembangunan penyelidikan perubatan,” katanya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!