SEPANG - Polis mengenal pasti lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Ahad, memiliki senjata api secara haram.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan suspek melepaskan tembakan bukanlah insiden secara rambang, sebaliknya menyasarkan individu dengan agenda peribadi.
"Selain itu, penumpang di sini (KLIA) tidak perlu risau mengenai keselamatan di lapangan terbang," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Ahad.
Beliau berkata, pihak polis juga dalam proses kenal pasti beberapa individu untuk direkod keterangan antaranya dua Polis Bantuan yang memberi tindakan awal dalam insiden terbabit selain orang awam di sekitar lokasi kejadian.
Katanya, pada waktu kejadian difahamkan kira-kira 30 orang berada di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut, pihak polis juga difahamkan suspek dan isterinya yang dijadikan sasaran kes tembak dalam proses penceraian.
"Kita difahamkan sebegitu," ujarnya.
Tambahnya, polis juga telah merekod keterangan isteri suspek bagi membantu siasatan.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, suspek melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya, namun satu tersasar dan satu lagi terkena pada pengawal peribadi wanita terbabit.
Suspek kemudian terus melarikan diri dan usaha giat dijalankan polis untuk memburunya.
Suspek dan isterinya mempunyai syarikat agensi pelancongan dan kejadian bermotifkan peribadi antara kedua mereka.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28