SHAH ALAM - Semua pihak diingatkan supaya melihat serangan balas Iran terhadap Israel pada Ahad sebagai tindakan bagi menuntut keadilan dan menegakkan kebenaran.
Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, jangan mudah terpedaya dengan sebarang hasutan atau naratif oleh pihak yang menyokong tindakan rejim Zionis.
"Kita mesti melihat serangan balas Iran ke atas Israel ini dengan kefahaman sendiri yang memihak kepada kebenaran dan keadilan.
"Jangan terpengaruh dengan naratif Israel dan kuasa yang menyokongnya termasuk negara yang menormalisasi hubungan dengannya. ALLAH bersama mereka yang berjuang di jalan yang benar," katanya menerusi satu hantaran di Aplikasi X pada Ahad.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Iran melancarkan lebih 200 dron, peluru berpandu balistik ke Israel dan serangan itu dikatakan masih berterusan hingga kini.
Menurut wakil tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangannya ke atas Israel sebagai mengikut lunas undang-undang.
Memetik Artikel 51 Piagam PBB, Iran tegaskan republik itu mempunyai hak untuk mempertahankan diri susulan serangan Israel ke atas bangunan konsulatnya di Damsyik, Syria pada 1 April lalu.
Dalam catatan di laman X, wakil Iran turut memberi amaran kepada Amerika Syarikat supaya menjauhkan daripada konflik Iran-Israel.
Tambahnya, Tehran memulakan operasi ketenteraan besar-besaran terhadap Israel dengan gelombang dron dan peluru berpandu.
Ia disifatkan sebagai serangan balas ke atas tindakan Israel ke atas kepentingannya dan serangan bangunan konsulat itu membunuh tujuh pegawai tentera Revolusi Iran termasuk dua jeneral tertingginya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28