GUA MUSANG - Aliran trafik di Jalan Jeli-Gua Musang, Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Jalan Kuala Krai-Gua Musang sesak ekoran perantau mula pulang ke destinasi masing-masing selepas berakhir cuti sempena Aidilfitri.
Tiga laluan terbabit mengalami kesesakan terutama di beberapa lokasi seperti lorong masuk ke laluan sempit berhadapan Stesen Petronas Persiaran Raya, Bulatan Tanah Puteh dan di persimpangan berhadapan R&R Mutiara di Tanah Puteh.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya melakukan beberapa penyuraian trafik sebagai langkah mitigasi dalam mengurangkan kesesakan di pintu keluar utama negeri ini.
Beliau berkata, pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang telah melakukan langkah penyuraian di kawasan R&R Mutiara, Tanah Puteh, dan di Persiaran Bendahara berhadapan bangunan Kemudi Timur di bandar Gua Musang.
"Penyuraian dilakukan secara berperingkat dengan kaedah menutup laluan bertentangan yang tidak sesak dalam jarak lima kilometer bagi memberi ruang kepada jalan yang sesak menjadi dua lorong,” katanya kepada Bernama pada Ahad.
Choon Foo menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan serta tidak mementingkan diri sendiri apabila menghadapi kesesakan lalu lintas kerana proses penyuraian memakan masa antara 10 hingga 20 minit setiap kali dijalankan.
Sementara itu, Mariati Abdullah, 42, yang dalam perjalanan pulang ke Cheras, Kuala Lumpur berkata dia sekeluarga ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan sebelum memasuki daerah ini.
"Kami bertolak pada jam 6.30 petang semalam setelah selesai menghantar anak ke asrama sekolah di Pasir Mas dan mengalami kesesakan jalan raya yang teruk di Tanah Merah dan Machang, sebelum tiba, di sini, pada jam 5.30 pagi tadi.
"Tempoh perjalanan biasanya hanya memakan masa kira-kira empat jam dari Pasir Mas ke Gua Musang tetapi masa cuti raya kali ini kami terpaksa menempuh hingga 11 jam,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28