APABILA menyebut mengenai sambutan Aidilfitri, kebiasaannya orang ramai akan mengambil kesempatan untuk bercuti panjang bagi meraikan musim lebaran bersama keluarga tercinta.
Namun tidak kurang juga terpaksa berkorban kerana tuntutan kerja yang tidak dapat dielakkan.
Itulah situasi yang dilalui aktres berdarah kacukan, Maya Karin Roelcke yang terpaksa mengorbankan cuti panjang demi memastikan dirinya tidak terlalu penat dan bersedia untuk memasuki set penggambaran pada awal Mei depan.
Cerita Maya, beliau berkesempatan meraikan hari pertama Aidilfitri bersama ibu, Che Zan dan adik perempuan Irina sebelum mereka berdua terbang ke Turnisia bagi bertemu adik lelakinya, Armin.
"Raya tahun ini sangat ringkas kerana rumah saya masih dalam proses ubah suai terutamanya di bahagian dapur. Jadi tidak dapat memasak.
"Mak dan adik pun hanya sempat bersama saya sampai petang hari raya pertama sebelum mereka berlepas ke Turnisia. Jadi, saya mengambil kesempatan untuk menziarahi sepupu yang tinggal di Seri Kembangan.
"Kebetulan promosi untuk filem The Experts sudah bermula dan saya juga sedang membuat persiapan untuk memasuki set penggambaran filem terbaru. Atas sebab itu saya cuba elakkan untuk terlalu penat kerana bimbang anxiety menyerang,” ujar Maya membuka bicara.
Maya berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem The Experts di Glenmarie baru-baru ini.
Terus terhenti perbualan mengenai Syawal tatkala mendengar perkata anxiety itu terkeluar daripada mulut Maya.
Bagai memahami persoalan di minda rakan wartawan mengenai serangan anxiety yang dialaminya, bintang berusia 44 tahun itu berkata, beliau tidak selalu mengalami masalah kebimbangan melampau itu, tetapi sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.
"Selalunya anxiety akan menyerang bila saya tidak cukup rehat atau tidak sempat makan. Cuma buat masa ini saya tidak mahu terlalu memikirkannya
"Kali terakhir saya alami serangan yang teruk ketika terlibat sebagai penyampai anugerah di Festival Filem Malaysia di Melaka pada Disember 2022. Selepas itu jarang berlaku, tetapi kalau berlaku, sebabnya mesti sama iaitu saya kurang rehat atau tidak makan,” jelasnya.
Tambah bintang yang mula meledak menerusi filem seram Pontianak Harum Sundal Malam itu, beliau sama sekali tidak pernah mengambil sebarang ubat-ubatan tetapi sentiasa berhati-hati dalam aktiviti seharian.
Malah Maya juga tidak kisah secara terbuka untuk bercerita mengenai masalah anxiety yang dihadapinya kerana merasakan masyarakat kini semakin terbuka dan memahami.
"Kesukaran orang yang mengalami anxiety ini adalah isu yang semakin dibicarakan. Saya tak nafikan dulu orang ada satu persepsi sekiranya ada individu mengalami masalah serupa, mereka anggap individu seperti saya akan duduk di hospital mental.
"Kini, ramai yang sudah boleh bertanya keadaan, beri cadangan yang sewajarnya. Jadi, bagi yang mengalami masalah sama, saya rasa tidak perlu untuk sorokkan lagi. Berkongsilah cerita pada orang lain agar kita tidak bertambah tertekan,” pesan Maya.
Cabaran
Sementara itu, mengulas penglibatan dalam filem The Experts menyaksikannya sekali lagi bergandingan dengan Remy Ishak, Maya berkata, cabaran utama naskhah itu bukan terletak pada babak aksi.
Sebaliknya, Maya dan Remy perlu menjalani latihan selama enam minggu bagi menjayakan satu babak tarian tango.
"Bayangkan kami masuk kelas tarian, buat latihan bersama-sama selama enam minggu. Bagi saya, tarian itu sangat sukar kerana diri sendiri tidak ada asas tarian.
"Bagaimanapun, saya gembira dengan hasilnya, diri sendiri dan Remy. Tidak sangka, budak kampung dari Melaka itu pandai menari,” kata Maya sambil ketawa.
Selain Maya dan Remy, filem terbitan Astro Shaw yang bakal menemui penonton di pawagam pada 23 Mei depan turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Mimi Lana, Ray, Tony Eusoff, Jau Iswazir dan Hasnul Rahmat.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28