Empangan Air Itam hanya mampu bertahan 30 hari

Iklan
Kapasiti air di Empangan Air Itam yang direkodkan pada Ahad telah mencapai tahap ketiga kritikal dengan bacaan 30.8 peratus. Foto hiasan

GEORGE TOWN - Kapasiti air di Empangan Air Itam yang direkodkan pada Ahad telah mencapai tahap ketiga kritikal dengan bacaan 30.8 peratus.

Peratusan itu menunjukkan empangan itu hanya akan bertahan sehingga 30 hari lagi sekiranya tiada hujan direkodkan.

Iklan
Iklan

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun ada rekod hujan dalam beberapa minggu ini dicatatkan, namun ia tidak membantu untuk menaikkan kapasiti air di empangan itu berikutan kekurangan hujan di kawasan tadahan air.

Kon Yeow (dua dari kanan) memberi duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke Karnival Raya Parlimen Bukit Bendera pada Ahad.

Menurutnya, bacaan terkini hujan untuk bulan April, Empangan Air Itam hanya mencatatkan 22.5 milimeter (mm).

Iklan

"Disebabkan kuantiti hujan yang kurang di kawasan tadahan air, ia menyebabkan paras air empangan tersebut turun sehingga 30.8 peratus pada hari ini.

"Bacaan ini adalah ketiga kritikal yang mana, Empangan Air Itam pernah mencatatkan paras yang lebih teruk, namun saya tiada butiran mengenai perkara itu.

Iklan

"Sebelum ini, kita telah menjalankan pelan tindakan mengekalkan paras air, maka paras empangan boleh mencapai sehingga 32 peratus. Bagaimanapun, dalam minggu lalu, kita nak bekalkan lebih banyak air, maka bacaan paras air menurun kepada 30.8 peratus," katanya ketika ditemui di Karnival Raya Parlimen Bukit Bendera di sini pada Ahad.

Kon Yeow menambah, beliau telah mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk terus melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) bagi mengekalkan kapasiti efektif di Empangan Air Itam.

"Mulai hari ini, kita akan sambung dengan apa yang kita lakukan (AIDAP 2024) untuk kekal paras efektif empangan. Ia mesti diteruskan sehingga kita mencapai yang selesa.Ada laporan mengenai hujan namun ia bukan di kawasan tadahan.

"Jadi kita kena pastikan ada hujan di kawasan tadahan. Nampaknya hujan yang kita terima di kawasan tadahan bagi April hanya 22.5 mm sahaja berbanding 300 mm setiap bulan sebelum ini. Ini menandakan ia masih rendah," katanya.

Ditanya mengenai pembenihan awan, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak bercadang untuk melaksanakan alternatif itu berikutan Pulau Pinang masih menerima hujan sejak beberapa minggu lalu.

"Kita masih ada hujan. Jika buat pembenihan awan pun, kita tak boleh nak kawal di mana hujan itu akan turun, tidak semestinya di kawasan empangan," katanya.

Februari lalu, PBAPP melaksanakan empat langkah kontingensi kejuruteraan bekalan air di bawah AIDAP 2024 bagi mengekalkan kapasiti efektif di Empangan Air Itam sekurang-kurangnya sehingga musim hujan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan berkata, menerusi pelan itu pihaknya telah meminimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam ke Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam sebanyak 75 peratus setiap hari, daripada 44 juta liter sehari (JLH) kepada 11 JLH.

Pathmanathan menambah, biarpun AIDAP 2024 bertujuan meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam secara beransur-ansur, taburan dengan hanya 1.5 mm taburan hujan sejak 1 Februari lalu selain peningkatan suhu hingga 36 darjah Celsius telah menyebabkan purata aliran masuk air ke empangan itu kurang daripada biasa iaitu 15 JLH.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28