BAGHDAD - Iraq kembali membuka ruang udaranya pada Ahad, beberapa jam selepas ditutup berikutan tindakan jirannya, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap Israel, umum pihak berkuasa penerbangan negara itu.
Jordan yang turut berjiran dengan Iraq selain Lubnan dan Israel turut membuka semula ruang udara mereka pada Ahad.
Pihak berkuasa penerbangan awam Iraq memaklumkan, pembukaan semula ruang udara dan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan di lapangan terbang negara itu, mengambil kira penilaian risiko keselamatan terhadap pesawat penerbangan awam.
Media tempatan Kurdish di utara Iraq melaporkan, dron milik Iran dilihat berlegar-legar di wilayah autonomi Kurdish apda Sabtu.
Di Jordan, Ketua Suruhanjaya Penerbangan Awam, Haitham Misto memberitahu saluran Al Mamlaka;"Ruang Udara Jordan sudah dibuka semula dan situasi kembali normal".
Ketua Pegawai Eksekutif Royal Jordanian, Samer Majali pula berkata, pesawat penerbangannya sudah menyambung kembali perkhidmatan tatkala menjangkakan akan berlaku beberapa kelewatan.
Di Lubnan, Menteri Pengangkutannya, Ali Hamie berkata, pihaknya sudah menyambung semula operasi penerbangan di negara itu sejak jam 7 pagi Ahad.
"Lapangan terbang antarabangsa di Beirut telah beroperasi semula," katanya sambil memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau situasi semasa.
Di Israel, pihak berkuasa lapangan terbangnya memaklumkan ruang udara yang ditutup sejak 12.30 tengah malam Sabtu susulan serangan dilancarkan Iran, dibuka semula pada jam 7.30 pagi Ahad. - AFP
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28