WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memaklumkan kepada sekutu kuatnya, Israel bahawa mereka tidak akan terlibat dengan sebarang operasi serangan balas terhadap Iran walaupun ia pernah menjadi penyokong kuat kempen pengeboman ganas ke atas Gaza ketika fasa awal peperangan itu tercetus.
Kenyataan itu dibuat menerusi panggilan telefon kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu setelah Tel Aviv berdepan hujan dron dan peluru berpandu.
Biden juga menjelaskan Washington enggan terbabit apa-apa ofensif ke atas Teheran dan Netanyahu dilaporkan menerima pendirian tegas tersebut.
Pegawai Rumah Putih berkata, Biden dan penasihat kanan beliau bimbang jika serangan balas Israel ke atas Iran berisiko mencetuskan konflik lebih meluas dan mengakibatkan kemusnahan lebih dahsyat.
Tentera AS dikatakan telah menempatkan pesawat dan pemusnah pertahanan peluru berpandu di rantau Asia Barat pada minggu lalu kononnya untuk membantu rejim Tel Aviv menangkis dron serta misil dari Iran, Yemen, Syria dan Iraq.
Biden yang seakan-akan takut dengan kebangkitan Teheran juga dijangka menghubungi pemimpin Kumpulan 7 (G7) untuk membincangkan langkah penyelarasan dan tindak balas diplomatik terhadap Operasi Janji Benar tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken cuba mengelakkan sebarang konflik dengan Iran menyatakan Washington akan terus menyokong pertahanan Tel Aviv. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!