Joe Ee bertukar rutin di Uzbekistan

Iklan
Joe Ee mungkin akan beraksi dalam disiplin gelung bagi mengelak kecederaan lebih teruk pada bahagian belakang. Foto Agensi

PEMENANG pingat emas Sukan Komanwel 2022, Ng Joe Ee berkemungkinan beraksi dalam disiplin gelung pada Kejohanan Gimnastik Berirama ke-15 di Tashkent, Uzbekistan bermula 2 hingga 4 Mei ini.

Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Petrina Low berkata, disiplin itu mungkin paling selamat buat Joe Ee bagi mengelak kecederaan lebih teruk pada bahagian belakang yang dialaminya sebelum Sukan Asia Hangzhou 2022 di China, tahun lepas.

Iklan
Iklan

"Setakat ini kami (MGF) hanya merancang untuk dia melakukan satu rutin iaitu gelung. Meskipun doktor memaklumkan tiada apa-apa yang serius, kami perlu berhati-hati.

"Kami tidak mahu merisikokannya, justeru kami memilih gelung kerana tidak memerlukan banyak lentikkan," katanya.

Iklan
Joe Ee memenangi pingat emas dalam acara riben pada Sukan Komanwel di Birmingham dua tahun lalu. Foto Agensi.

Petrina bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk Joe Ee bersaing dalam disiplin lain, bergantung kepada kemajuan atlet gimnastik itu menjelang tugasan pertamanya sejak Hangzhou Asiad iaitu Piala Boshporus Gimnastik Berirama di Istanbul, Turkiye dari 19 hingga 21 April ini.

"Selepas kejohanan di Turkiye, gimnas negara akan ke kem latihan di Baku, Azerbaijan dari 22 hingga 30 April sebelum ke Tashkent dari 30 April hingga 5 Mei," katanya.

Iklan

Beliau berkata, Joe Ee, 18, turut bersama-sama dua gimnas senior, Mavia Wong Weng Qin dan Lai Yun Jo serta dua junior dan enam yang lain untuk acara kumpulan bagi kejohanan Asia akan datang.

Mengakui hakikat bahawa perjalanan getir menanti gimnas negara di Tashkent, Petrina berkata, layak ke peringkat akhir akan menjadi pencapaian yang baik untuk mereka.

Kejohanan terbabit juga, katanya menawarkan satu slot terakhir untuk Sukan Olimpik 2024 yang menjadi milik gimnas yang menjuarai acara individu all-around.

Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung di Paris, Perancis dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Dalam perkembangan lain, Petrina berkata, MGF turut menjangkakan dua bekas gimnas negara - Koi Sie Yan dan Izzah Amzan dilantik sebagai penolong jurulatih untuk pasukan kebangsaan, awal tahun depan.

Disember lepas, Petrina berkata, Izzah dan Sie Yan yang merupakan bekas pemenang pingat Sukan Komanwel akan diambil bekerja secara sambilan memandangkan mereka masih belajar di institusi pengajian tinggi. - Bernama