SERANGAN dron yang dilancarkan oleh Iran ke atas Israel ternyata mengejutkan, malah ia turut mengundang pelbagai reaksi daripada seluruh dunia.
Ada yang terkejut, malah ada yang sudah meramalkan perkara itu yang disifatkan sebagai satu tindakan balas dendam Iran setelah Israel melancarkan serangan ke atas kedutaan Iran di Syria pada 1 April 2024 lalu.
Susulan kejadian itu, Israel seolah-olah memberi isyarat bahawa gendang sudah dibuka, perang tidak lagi boleh dielakkan, malah dalam amalan politik antarabangsa, menyerang kedutaan adalah satu bentuk provokasi seperti mahu mengajak untuk berperang.
Sebab itulah, Iran enggan berdiam diri meskipun mengambil masa lebih dua minggu untuk bertindak balas.
Tindakan Iran menyerang balas ini juga menunjukkan negara Parsi berkenaan mempunyai kredibiliti dan tidak mudah tunduk dengan sikap tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel.
Sehubungan itu, ada juga menyifatkan tindakan Iran ini sebagai hero kerana berani menyerang Israel, sekurang-kurangnya melunaskan rasa sakit hati atas kebisuan dan kepekakan dunia ke atas umat Islam Palestin yang saban hari dibantai rejim Zionis.
Bagaimanapun, konflik ini baharu memasuki episod baharu, dunia pastinya akan menantikan peristiwa baharu dalam suasana geopolitik antarabangsa kini.
Selain itu, kejadian ini turut mencetuskan spekulasi dan analisis mengenai kemungkinan perjalanan konflik di masa depan antara Iran dan Israel.
Sebagai antara dua kuasa utama di kawasan tersebut, tindakan yang diambil oleh kedua-dua negara ini akan memainkan peranan penting dalam menentukan arah masa depan politik dan keselamatan di Asia Barat.
Oleh itu, walaupun belum pasti sama ada konflik ini akan berterusan menjadi perang terbuka atau tidak, dunia pasti akan terus berwaspada dengan rapi setiap perkembangan yang berlaku dan memberikan perhatian yang serius terhadap kesan serta implikasinya kepada kestabilan serantau dan global.
Maka, sama ada berlaku perang atau tidak sama-sama kita nantikan apa yang Iran dan Israel akan lakukan selepas 'episod pertama' ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!