BELFAST - Gara-gara cuba meniru aksi dalam video di YouTube, seorang budak lelaki berusia 10 tahun cedera selepas disambar api di bahagian wajah dan leher.
Ketika bermain bersama rakan di taman berhampiran rumahnya di United Kingdom, Dale Robinson memutuskan untuk meniru aksi yang dilihat dalam video terbabit menggunakan pemetik api, deodoran dan tong petrol.
Sebaik sahaja mangsa menghidupkan pemetik api, api menyambar wajah dan jaket yang dipakainya secara tiba-tiba.
Menurut laporan Belfast Live, Robinson menjerit kesakitan dan berlari mengelilingi taman permainan untuk meminta bantuan.
Pada masa sama, jaket hitamnya mencair dan meleleh serta terkena wajah dan kepalanya.
Ibu mangsa, Deborah Moore yang mengetahui kejadian menimpa anaknya bergegas membawa mangsa ke hospital.
Meskipun tidak memerlukan pembedahan, namun Robinson melecur di muka, kepala dan leher.
"Salah seorang rakannya memberitahu api menyambar seperti puting beliung sebelum meletup di muka Robinson. Mukanya kehitaman disebabkan jaket yang dipakai mencair," kata Moore.
Mangsa ditahan di hospital selama sehari sebelum dibenarkan pulang pada hari Krismas.
"Ia adalah kenangan Krismas paling buruk. Dia bernasib baik kerana tidak memerlukan pembedahan plastik. Keadaannya bertambah baik, namun wajahnya masih berparut," katanya.
Moore turut menasihatkan kanak-kanak lain supaya tidak meniru aksi yang dilihat di YouTube selain menjauhkan diri daripada barang berbahaya seperti pemetik api. - Agensi