MOOD Aidilfitri masih lagi terasa. Apatah lagi selepas pulang dari kampung, kebanyakan daripada kita belum berkesempatan lagi untuk menziarahi jiran tetangga dan kenalan yang lain kerana sudah kembali sibuk bekerja.
Andai ada kelapangan dan masa terluang, pasti kesempatan untuk beraya tidak akan dilepaskan begitu sahaja.
Kepada mereka yang mahu melakukan ziarah hari raya, sebaiknya jagalah laku dan adab masing-masing. Lebih-lebih lagi dalam bab memberi salam sebelum masuk ke dalam kediaman tuan rumah.
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood berkongsikan adab memberi salam yang betul untuk kita amalkan.
"Bukannya dengan berdiri di tengah-tengah pagar sambil mengintai-intai ke dalam rumah yang hendak kita bertandang.
"Pada masa sama, elakkanlah juga mengomel apabila salam kita tidak dijawab atau loceng telah lama dibunyikan,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Rasulullah SAW bersabda: "Meminta izin untuk masuk masuk ke rumah orang lain hendaklah dilakukan sebanyak tiga kali. Jika kamu diberi keizinan, maka masuklah dan jika kamu telah lakukan yang demikian, tetapi tidak ada jawapan, maka hendaklah kamu balik.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Di samping itu, ahli akademik tersebut turut mengingatkan kita agar duduk di tempat yang telah disediakan oleh tuan rumah.
"Ini juga bagi mengelakkan kita mencari keaiban tuan rumah dengan hal ehwal kediaman mereka,” ungkapnya sambil mengingatkan agar tidak terlalu lama berada di situ bagi mengelakkan menggangu masa orang yang diziarah dan perancangan mereka.
Seperkara lagi, Siti Fatahiyah turut mengingatkan agar kita mengelakkan diri daripada bertanyakan soalan yang sensitif atau tidak sesuai ketika mengunjungi kenalan ataupun menerima kehadiran tetamu.
"Antara hikmah amalan ziarah-menziarahi adalah untuk mengeratkan silaturahim dan bukannya mencari ruang-ruang keaiban bagi menghangatkan lagi pertelingkahan.
"Begitu juga halnya dengan pertuturan. Elakkan berbual tentang kekurangan ataupun keburukan ketika datang berziarah dengan tujuan untuk mengumpat. Perbuatan itu dilarang oleh Islam,” tegasnya.