KAPTEN skuad hoki negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib percaya prestasi skuad Malaysian Tigers akan lebih meningkat sekiranya lebih ramai pemain beraksi di liga luar negara terutamanya Eropah.
Sukri berkata, apabila pemain Malaysia beraksi dalam kejohanan yang kompetitif bersama pemain terkemuka dunia, ia dapat merapatkan jurang antara pemain negara dan Eropah.
Sukri turut percaya bahawa pengalaman sedemikian dapat mengubah persepsi atau rasa kurang keyakinan diri pemain apabila bertemu pasukan lawan yang dibarisi pemain bertubuh besar kerana sudah biasa berlatih dengan pemain Eropah.
"Kalau kita lihat pada pemain bola sepak seperti Lionel Messi di Barcelona yang juga bertubuh kecil tapi boleh bermain dengan pemain yang bertubuh besar kerana dia dah berlatih dengan orang Eropah daripada kecil, sama juga dengan pemain seperti David Silva dan Xavi (Sepanyol), mereka dah membesar dalam situasi itu.
"Jika pemain kita berada dalam persekitaran itu juga, mungkin dapat menyerap corak permainan dari Eropah yang begitu fizikal, serta dapat mengubah mentaliti pemain dan cepat matang dalam permainan,” katanya selepas menghadiri perbincangan hampir sejam pada sesi penilaian empat tahun (2016-2019) skuad kebangsaan hari ini.
Menurutnya, kewajipan menghadiri latihan pusat bagi tempoh yang lama memaksa pemain berkenaan melupakan tawaran pasukan luar negara selain komitmen menamatkan pengajian masing-masing.
"Setahu saya, kebanyakan pemain yang keluar adalah pemain bukan daripada pasukan kebangsaan yang mendapat peluang bermain di Itali, Scotland, Australia dan negara lain,” katanya yang pernah beraksi bersama kelab Southern Hotshots di Liga Australia.
Sesi penilaian itu bertujuan untuk 'bedah siasat' punca kegagalan pasukan lelaki dan wanita negara layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, sekali gus memastikan kesilapan sama tidak berulang untuk tempoh empat tahun akan datang.
Sesi itu dianggotai 16 ahli panel termasuk pengurusan tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) diketuai Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; bekas pemain; wakil daripada Polis Diraja Malaysia; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pihak media.
Seramai 10 pemain lelaki dan lima pemain wanita menjalani sesi perbincangan tertutup secara individu bersama ahli panel semalam manakala sesi pertemuan dengan pihak jurulatih dijangka diadakan pada waktu lain. - Bernama