KOTA BHARU - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan mengugut untuk mencederakan adik perempuannya menggunakan besi dan kaca pada 5 April lalu.
Tertuduh, Haslimi Hasan, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Ahmad Syafik Aizat Nazri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan kepada Hasnaini, 30, di Kampung Tok Dokang, Jalan Lorong Kubur Banggol, di sini, pada jam 3 petang.
Pertuduhan terhadap Haslimi dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, Muhammad Aiman Syahmi menawarkan jaminan RM5,000 namun tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kerana dia tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 30 Mei ini.
Tertuduh tidak menjelaskan jaminan itu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28