KOTA BHARU -"Saya hanya lakukan demonstrasi.” Itu alasan diberikan seorang bekas banduan yang didakwa melakukan amang seksual dengan menunjukkan video lucah kepada adik perempuannya yang berusia 17 tahun lima bulan pada 6 dan 8 April lalu.
Penganggur berusia 34 tahun itu turut mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Isnin.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat di hadapan Hakim, Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menyebabkan mangsa memerhati atau mendengar visual aktiviti yang bersifat seksual di sebuah rumah di Lorong Tanjung, Jalan Long Yunus dekat di sini pada jam 10 malam 6 April lalu.
Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
Mengikut pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama dengan memegang tangan gadis itu di lokasi sama pada jam 11 pagi, 8 April lalu.
Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, Siti Edabayu tidak menawarkan jaminan kerana pertalian adik-beradik selain tertuduh dan mangsa tinggal sebumbung.
"Saya tidak mencadangkan jaminan kerana mangsa mengalami trauma dan tertuduh juga baru bebas dari penjara seminggu sebelum Aidilfitri lalu kerana kesalahan memiliki dadah serta mereka tinggal bersama,” katanya.
Lelaki terbabit sebaliknya merayu jaminan ke atasnya dibenarkan kerana dia ingin pulang ke rumah.
"Minta jasa baik mahkamah mempertimbangkan jaminan.
"Saya nak berada di rumah kerana sangat rindu,” katanya.
Nik Habri bagaimanapun tidak membenarkannya dan memberitahu akan membuat pertimbangan lain jika permohonan dibuat secara bertulis selepas ini.
Kes seterusnya ditetapkan untuk sebutan semula, serahan dokumen dan lantikan peguam pada 6 Mei ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!