Awas pedofilia di sekeliling anda!

Iklan

MASIHKAH anda ingat tentang kisah seorang pelajar pintar Matematik dari Malaysia, Nur Fitri Azmeer Nordin, 28, yang dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London, United Kingdom pada tahun 2015?

Mahkamah Southwark Crown menjatuhkan hukuman penjara terhadap penuntut Imperial College di London itu selepas dia mengaku bersalah terhadap 17 pertuduhan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya.

Iklan
Iklan

Ketika ditahan polis, penuntut yang merupakan penerima biasiswa Matematik itu memiliki 601 video dan imej lucah kategori A iaitu kategori penyalahgunaan melibatkan aktiviti seksual kanak-kanak serta beratus bahan lucah kategori B dan C. Kes itu menggemparkan negara kerana penuntut genius itu terlibat dalam kes pedofilia.

Pada tahun lepas pula, pesalah pedofilia, Richard Huckle yang melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia, ditemui mati dalam penjara di utara England. Memetik laporan media di United Kingdom, Richard ditemui mati dengan kesan tikaman di dalam sel penjaranya. Bekas jurugambar itu menjadi perhatian selepas didapati melakukan penderaan seksual terhadap kira-kira 200 kanak-kanak antara tahun 2006 hingga 2014 terutama di Malaysia.

Iklan

Pada tahun 2017, Richard telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan kesalahan seks kanak-kanak.

Penyakit

Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, pedofilia ialah penyakit mental kronik yang menyebabkan penghidapnya berasa ghairah apabila melihat kanak-kanak atau gambar mereka.

Iklan

Menurutnya, pedofilia mencari mangsa dengan memerhati dari jauh dan jika berpeluang, mereka akan mendekati mangsa.

"Kanak-kanak yang pasif dan penakut lebih berisiko menjadi mangsa penderaan seksual dalam kalangan pedofilia.

"Pedofilia selalunya akan melihat potret kanak-kanak dengan ghairah walaupun gambar itu biasa saja,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua pedofilia ialah pencabul.

"Ada banyak sebab seseorang menghidapi penyakit itu, antaranya orientasi seksual dialami ketika kecil, mungkin pernah disentuh, dirangsang atau pendedahan terhadap perlakuan itu pada zaman kanak-kanak,” katanya.

Menurut seorang profesor di University of Toronto, Dr Ray Blanchard, penyakit itu boleh dirawat melalui sesi terapi bersama pakar.

"Pesakit (pedofil) yang berpotensi besar untuk melakukan jenayah seksual boleh mendapatkan sesi rawatan untuk mengurangkan keinginan seks mereka,” katanya.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, jumlah kes jenayah seks kanak-kanak meningkat sebanyak 20.3 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir tahun 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Statistik itu mendapati sebanyak 326 kes dicatatkan pada Julai hingga Disember 2018 berbanding 271 kes bagi tempoh sama pada tahun 2017 membabitkan peningkatan sebanyak 55 kes.

Melihatkan kepada angka statistik itu, ia sangat membimbangkan lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

Walaupun Malaysia sudah menjengah tahun 2020, namun semakin banyak kita disajikan dengan berita mengenai gangguan seksual melibatkan golongan kanak-kanak.

Jika dulu, anak kecil boleh dibiarkan pergi ke kedai secara sendirian, namun kini dengan dunia dipenuhi dengan manusia sakit mental, tidak boleh dipastikan sama ada si kecil itu dapat kembali ke rumah dengan selamat.

Justeru, sebagai langkah keselamatan, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak memuat naik gambar anak di laman sosial terutama dalam keadaan tidak sempurna termasuk dari segi pakaian bagi mengelak terdedah kepada pedofilia.

Kita tidak dapat mengenal pasti atau tahu bahawa orang yang kita kenal di media sosial atau yang berada di sekeliling kita sebenarnya adalah gila.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Penolong Editor Sinar Harian