KUCHING - Sebuah rumah kediaman milik seorang timbalan menteri Sarawak di Pa' Umor di Bario, sebuah kawasan dataran tinggi pedalaman di utara negeri itu terbakar awal pagi semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman hari ini berkata, rumah milik Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Gerawat Gala itu terletak kira-kira 460 kilometer menggunakan jalan balak dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, balai terdekat ke lokasi kejadian.
"Penduduk kampung, polis, tentera dan pasukan bomba sukarela telah berusaha memadam kebakaran namun rumah kediaman itu terbakar sepenuhnya," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, difahamkan enam penghuni yang berada di kediaman itu ketika kejadian berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi Ahad itu.
Menurutnya, bergantung kepada keadaan cuaca, perjalanan darat ke lokasi kejadian itu dari BBP Marudi mengambil masa 20 jam.
"Pergerakan pengesahan dan siasatan kebakaran telah menggunakan helikopter bomba untuk ke lokasi," katanya.
Sementara itu Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan berkata Batalion Keenam Rejimen Sempadan (6RS) turut terlibat membantu mengawal kebakaran itu.
"Sejurus menerima panggilan bantuan daripada Ketua Kampung Pa' Umor, Pasang Ibuh pada pukul 2 pagi, seorang pegawai bersama 20 anggota Lain-Lain Pangkat 6RS telah diaturgerakkan ke tempat kejadian yang sejauh 10 kilometer dari Pos Bario," menurut kenyataan markas itu hari ini. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!