ALOR GAJAH - Warga emas maut manakala empat lagi cedera selepas kereta Proton Wira yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia di Jalan Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah dekat sini pada awal pagi Isnin.
Dalam kejadian jam 12.10 pagi, mangsa Timah Abu, 82, yang menaiki Proton Wira dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah ke Lubok Redan disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan termasuk sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 59 tahun.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian Perodua Axia yang dipandu oleh Bilal Masjid Ramuan China Besar dari arah Kampung Ramuan China Besar telah hilang kawalan ketika melalui satu selekoh lalu terbabas ke laluan bertentangan.
Beliau berkata, pada masa sama kenderaan dinaiki warga emas sekeluarga termasuk cicitnya tidak dapat mengelak lalu bertembung dengan kereta terbabit.
"Akibat kemalangan itu mangsa bersama menantu, Noordin Mohamed Sali,50, yang memandu kereta, anaknya, Saadiah Mohd Yasin,46, dan cicitnya, Muhammad Megat Iskandar Muhammad Zulkalnain berusia enam tahun, cedera dan dirawat di zon kuning, Hospital Alor Gajah.
"Namun jam 4 pagi, pihak hospital memaklumkan wanita warga emas itu disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Ashari berkata, impak kemalangan itu bilal terbabit turut mengalami kecederaan dan dirawat di zon merah hospital sama.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan siasatan lajut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!