JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Polis Johor mengesahkan sebanyak 36 laporan telah diterima setakat Isnin, berkaitan individu yang memuat naik hantaran di media sosialnya yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata laporan polis itu diterima daripada pelbagai pihak termasuk parti politik dan orang perseorangan.
"Kesemua pengadu juga telah dirakam percakapan mereka dengan semua rakaman berkenaan sudah diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, bagi tindakan susulan.
"Siasatan telah dijalankan oleh pihak USJT Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum itu pada Ahad, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros mengarahkan 26 Pemuda UMNO Bahagian di negeri ini bertindak dengan membuat laporan polis.
Dalam entri di akaun Facebook yang dipercayai sudah dimuat turun itu, antara lain individu berkenaan menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk Sultan dan Agong ketika solat Jumaat, di negeri ini.
Beliau juga dilaporkan mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam.
Berdasarkan perkongsian di media sosial, individu berkenaan dikenali sebagai Hezry Yasin, didakwa sebagai Pengarah Media Baharu Pemuda Pas Selangor.
Bagaimanapun, seorang individu dikenali, Hezry Yasin yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Facebook miliknya hingga mencetuskan kemarahan orang ramai tampil membuat permohonan maaf pada Ahad
Hezry berkata, beliau tidak menyangka dan mengakui terkejut apabila tulisannya itu mendapat kritikan daripada netizen yang tidak berpuas hati dengan pandangan tersebut.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28