KOTA BHARU - Kolej Komuniti Kok Lanas melantik 64 pelajar dari empat sekolah menengah di negeri ini sebagai duta Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) institusi terbabit.
Pengarah Kolej Komuniti Kok Lanas, Nik Ahmad Rizal Wan Ismail, berkata, duta projek perintis berkenaan terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, SMK Pangkal Kalong, SMK Mulong serta SMK Salor.
Menurut beliau, mereka akan bertanggungjawab menyampaikan input berkaitan program dan pengkhususan yang ditawarkan di bawah TVET sebagai pilihan pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Duta ini akan menyampaikan maklumat tepat dan memberikan dorongan yang diperlukan kepada pelajar peringkat menengah dan bakal melepasi SPM untuk mengambil langkah penting melanjutkan pendidikan mereka.
"Duta juga perlu menyampaikan bahawa TVET berperanan dalam mempersiapkan pelajar dengan kemahiran pada masa depan sekali gus membuka peluang kerjaya yang luas serta berpotensi meningkatkan pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Duta TVET @ KLCC 2024, di kolej terbabit, di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, lanjutan pengajian TVET di kolej komuniti juga mempunyai banyak kelebihan termasuk syarat kemasukan yang hanya perlu lulus SPM dan satu kredit selain disediakan Bantuan Kewangan Kolej Komuniti kepada pelajar kumpulan B40.
"Misalnya di Kolej Komuniti Kok Lanas, lepasan SPM boleh memilih program-program utama yang ditawarkan iaitu Sijil Dandanan Rambut, Sijil Terapi Kecantikan dan Spa serta Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan dengan yuran serendah RM200 setiap semesta.
"Bagi pelajar B40, diberi bantuan RM2,400 setiap semesta dan sejurus tamat dua tahun pengajian, mereka boleh menyambung ke peringkat diploma di politeknik-politeknik seterusnya ijazah di rangkaian universiti teknikal Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembelajaran) Kota Bharu, Mohd Nazri Muhammad, berkata, Program Duta TVET terbabit mampu membuka minda pelajar berkaitan keistimewaan yang ditawarkan kolej komuniti.
"Ada pelajar terutama di tahap sederhana tidak tahu saluran untuk mereka menyambung pengajian selepas tamat SPM.
"TVET adalah peluang terbaik untuk mereka memperoleh sijil kemahiran bagi persediaan menghadapi kehendak dalam pasaran buruh masa kini,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28