Kerajaan negeri kecewa gangguan bekalan air pada hari raya

Iklan
Mohd Jafni (dua dari kiri) mendengar keluhan penduduk.
KULAI - Kerajaan Negeri nyata kecewa dengan gangguan bekalan air Felda Bukit Permai yang menyaksikan bekalan air terputus pada malam raya dan Hari Raya Aidilfitri pertama lalu.

Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor perkara berkenaan tidak sewajarnya berlaku kerana bekalan air di kawasan berkenaan diselia oleh sebuah syarikat swasta Ranhill SAJ.

"Hari ini (Isnin), saya buat lawatan mengejut ke Felda Bukit Permai, iaitu antara kawasan yang terputus bekalan air pada malam raya dan raya pertama melibatkan hampir keseluruhan rumah di Gugusan Murni Jaya, Kampung Sri Muar, Felda Bukit Permai dan kampung sekitar.

Iklan
Iklan

"Perkara ini nyata suatu insiden yang mengecewakan biarpun sumber bekalan air semakin pulih dan hampir keseluruhan rumah di kawasan berkenaan sudah ada bekalan air.

"Bagaimanapun, ada 100 rumah di Kampung Agas di Felda Bukit Permai dan 40 rumah di Kampung Sri Muar, Kampung Sungai Sayong 1 dan 28 rumah di Kampung Tersusun Murni Jaya lagi bergantung kepada lori tangki bagi mendapatkan air,” katanya.

Iklan

Mohd Jafni berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Felda Bukit Permai, bagi meninjau sendiri kawasan-kawasan yang masih terputus bekalan air sejak beberapa hari menjelang Aidilfitri lalu.

Sementara itu Mohd Jafni berkata, isu utama yang menimbulkan kemarahan penduduk adalah disebabkan tidak ada sebarang pemberitahuan mengenai masalah bekalan air tersebut daripada pihak Ranhill SAJ.

Iklan

Malah, pihaknya juga tidak menerima apa juga alasan daripada pihak Ranhill SAJ berhubung gangguan bekalan air tersebut kerana permasalahan sedemikian sepatutnya sudah boleh ditangani oleh syarikat swasta seperti Ranhill SAJ seperti mempunyai pelan jangka pendek bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air sesuatu kawasan.

"Saya dan penduduk kecewa dengan apa yang berlaku. Seminggu sebelum raya kita pun dah buat lawatan ke Tangki Mengkibol dan pihak Ranhill SAJ dan bentangkan tindakan untuk tangani masalah air, tetapi ia berlaku juga dan kali ini paling teruk hingga libatkan hampir 800 hingga 1,000 unit rumah dari sempadan Renggam hingga ke felda dan ini membangkitkan rasa marah dan kecewa penduduk.

"Apatah lagi di masjid dan surau juga bekalan air terputus dan bergantung kepada tangki septik dan ada juga air yang dibekalkan ada bau tak boleh dibuat untuk masak.

"Penduduk tambah kecewa bila air tak keluar dari paip masa raya, jadi masak di pagi raya terpaksa ditangguhkan,” katanya.

__________________________________________________________________________________________

Penduduk kecewa dengan gangguan bekalan air

KULAI - Biarpun sumber bekalan air di Gugusan Murni Jaya, Kampung Sri Muar, Felda Bukit Permai termasuk beberapa kampung di kawasan sekitar semakin pulih, namun rata-rata penduduk di kawasan berkenaan tetap kecewa dengan gangguan bekalan air yang berlaku baru-baru ini.

Lori tangki membekalkan air ke kawasan terjejas.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan, mendapati penduduk dari kawasan sekitar kecewa terhadap pengurusan air yang dilakukan oleh pihak Ranhill SAJ, terutamanya apabila mereka langsung tidak memaklumkan mengenai gangguan bekalan tersebut lebih awal supaya penduduk dapat membuat persediaan.

Bagi Ketua Kampung Felda Bukit Permai, Zakaria Khalid, 60, dia memang tidak menyangka bekalan air akan terganggu kerana pada petang sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Sebenarnya dah berpuluh tahun masalah air ni berlaku dan kita dah biasa tapi masa raya hari tu, air kosong, angin pun tak ada. Ke mana pergi air tu?

"Dengan perantau yang balik, tak ada air nak mandi, nak basuh muka pun tak ada... memanglah tak simpan air sebab pihak SAJ (Syarikat Air Johor) tak beritahu (bekalan) air akan terganggu sebab petang sehari sebelum raya, air memang kuat.

"Memang tak sangkalah air akan terputus pada pagi raya... memang kecewa,” katanya.

Bagi Ketua Kampung Sri Muar, Surono Karimen, 65, gangguan bekalan air di kampung berkenaan sudah mula berlaku sejak dua hari sebelum raya.

Katanya, keadaan itu berlarutan sehinggalah tiba hari raya dan menyebabkan ada yang terpaksa ke rumah anak di Kulai bagi tujuan memasak.

"Saya sebenarnya nak kata pun, kita pun tengok keadaan orang-orang di kampung pada hari raya.

"Di Sungai Sayong 1 ada 20 rumah yang terjejas, di Kampung Sri Muar pun ada 20 rumah terjejas dan ini ditambah dengan lima penduduk yang diserang strok (angina ahmar),... harap masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.

Bagi Ketua Kampung Sri Muar, Surono Karimen, 65, gangguan bekalan air di kampung berkenaan sudah mula berlaku sejak dua hari sebelum raya

"Di Sungai Sayong 1 ada 20 rumah yang terjejas, di Kampung Sri Muar pun ada 20 rumah terjejas dan ini ditambah dengan lima penduduk yang diserang strok (angina ahmar),... harap masalah ini dapat diselesaikanlah,” katanya.

Bagi Ketua Kampung Murni Jaya, Mohd Azam Saa’don, 50, kawasan paling kritikal yang berdepan masalah gangguan air ini melibatkan kawasan kampung tersusun.

Selain itu katanya, sebanyak 15 rumah yang berada agak jauh ke dalam kampung juga dilaporkan mengalami masalah gangguan bekalan air terputus.

"Bagi 15 rumah ini, keadaannya pagi ada air, bila dah nak petang tu air dah mula tak ada. Betul pihak SAJ ada bekalkan air, bekalkan tangki...cuma masalahnya macam mana nak angkat (bawa) air tu ke rumah?

"Penduduk di sini ada yang sakit, ada juga warga emas yang memang dah tak larat nak angkat air jadi rasanya pihak berwajib macam SAJ ni kena buat tindakan drastik untuk selesaikan masalah ini kerana kita memang kecewa kerana tidak ada tindakan jangka pendek atau jangka panjang bagi menangani masalah gangguan bekalan air ini,” katanya.

Sementara itu bagi Penghulu Mukim Sedenak, Mohd Amirul Ali Zulkifli, 30, pihaknya telah berkali-kali bermesyuarat dengan pihak Ranhill SAJ berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku kali ini (gangguan bekalan air) di mukim seliannya ternyata sesuatu yang mengecewakan.

"Saya selaku wakil pegawai daerah, berasa kecewa dengan pengurusan pihak Ranhill SAJ. Ini kerana kita telah berkali-kali mengadakan mesyuarat untuk adakan task force (jawatankuasa)...tapi apa yang mukim saya terima sangat mengecewakan,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28