KUANTAN - Kebimbangan ibu bapa terhadap vaksin influenza yang dikatakan habis di klinik swasta di daerah ini menyebabkan ramai di antara mereka panik.
Beberapa ibu bapa yang ditemui kesal kerana gagal mendapat suntikan vaksin tersebut selepas beberapa klinik yang dihubungi mereka menyatakan kehabisan stok.
Tinjauan Sinar Harian di empat klinik swasta mendapati vaksin influenza habis sejak Ahad lalu dan tidak menjanjikan stok baharu.
Orang ramai yang ingin mendapatkan vaksin tersebut pula perlu membayar antara RM75 dan RM80 untuk satu dos.
Ada klinik yang menghabiskan 30 dos dalam tempoh sehari, namun ada juga yang tidak menyediakan perkhidmatan tersebut ekoran bukan keperluan semasa.
Kakitangan kerajaan, Aishah Panut, 36, berkata, dia pergi beberapa klinik dan turut menelefon klinik lain untuk mendapatkan vaksin empat anaknya namun hampa.
Aishah mengakui panik kerana tidak pasti langkah-langkah keselamatan yang perlu dilakukan bagi mengelakkan anak-anaknya dijangkiti influenza.
"Saya nasihatkan anak-anak supaya tidak menyentuh sembarangan dan selalu menggunakan bahan pencuci tangan. Saya juga elak berada di tempat sesak," katanya.
Bagi kakitangan swasta, Syahar Junaidi, 29, dia berusaha mendapatkan vaksin di beberapa klinik tetapi dimaklumkan kehabisan stok, tetapi mereka sudah membuat tempahan.
Katanya, dia akan mendapatkan vaksin itu kerana bimbang dengan keselamatan anak-anak yang berisiko dijangkiti selain tugasnya yang berdepan dengan ramai warga asing.
Suri rumah, Intan Izdihar Khairul Nizam, 33, pula berharap kerajaan memandang serius kekurangan bekalan vaksin di Kuantan kerana ramai yang bimbang dengan virus influenza yang melanda negara ketika ini.
Menurutnya, dia bimbang kesihatan anaknya, Muhammad Mikail Aniq Mohd Syamsyul yang berusia setahun kerana beberapa klinik yang dihubungi memaklumkan sudah kehabisan vaksin.
Justeru katanya, buat masa ini dia menggunakan bahan pencuci tangan sebelum menyentuh anaknya selain mengelakkan berada di kawasan sesak termasuk pusat membeli-belah.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan vaksin influenza di klinik swasta terhad
Bekalan vaksin influenza terhad, harga melonjak RM120?
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Bahari Awang Ngah berkata, terdapat 180 dos vaksin influenza di tiga hospital negeri Pahang setakat ini.
Menurutnya, jumlah itu mencukupi bagi sasaran golongan berisiko dan disediakan secara percuma iaitu di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan Hospital Bentong.