Rutin rawat Nurul masih terbayang - Ibu

Iklan
Siti Nurul Hidayah yang sebelum ini terlantar di hospital selama 18 tahun sebelum dibenarkan pulang tahun lalu meninggal dunia pada 28 Mac lepas.

JEMPOL - Gadis yang sebelum ini terpaksa menetap di hospital selama 18 tahun dan merasai suasana tinggal di rumahnya di Bahau di sini kira-kira setahun, meninggal dunia bulan lalu.

Siti Nurul Hidayah Mohamad Sofi, 26, terlantar di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah akibat penyakit Cervical Cord Myelopathy iaitu kerosakan saraf tunjang dan pengecutan paru-paru selepas terjatuh di rumahnya ketika berusia enam tahun.

Iklan
Iklan

Ibunya, Dayang Lohani Awang Zain, 57, berkata, anaknya itu pernah menyuarakan perasaan tidak sabar menyambut Hari Raya Aidilfitri selain sempat berpuasa selama tiga hari pada Ramadan lalu.

Bagaimanapun menurutnya, beberapa hari selepas itu dia dimasukkan ke Hospital Jempol apabila mengadu tidak selesa di bahagian dada.

Iklan

"Dia ada meminta untuk saya menemaninya di wad tetapi keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan akibat sakit jantung, jadi adiknyalah yang teman. Hari kedua di wad dia ulang permintaan sama (temaninya di wad).

"Tidak sangka itu permintaan terakhirnya, namun saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah dan itulah kali terakhir saya menatap senyumannya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3 petang pada 28 Mac lepas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Laporan Sinar Harian mengenai Siti Nurul Hidayah.

Iklan

Akui masih sedih susulan tidak berkesempatan menunaikan hajat Siti Nurul Hidayah untuk menyarung baju raya, Dayang Lohani tetap reda kerana ALLAH SWT lebih menyayangi anaknya itu.

"Urusan Nurul di dunia ini sudah selesai tetapi masih terbayang-bayang lagi rutin harian kami sekeluarga merawat dan menguruskannya di rumah ini, pakaiannya, ubat-ubatannya. Hanya ALLAH yang tahu rindu dan sayangnya kami dengan arwah macam mana," katanya.

Ujarnya, jenazah Siti Nurul Hidayah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Kelamah, Gemas di Tampin berhampiran kubur bapanya, Mohd Sofi Mohamad Amin yang meninggal dunia akibat angin ahmar dan serangan jantung.

Media pada 2015 melaporkan kisah Siti Nurul Hidayah yang terjatuh dalam bilik air menyebabkan dia lumpuh dan terlantar di HTAN sejak Januari 2005.

Sinar Harian seterusnya pada 24 Mac tahun lalu melaporkan, sambutan Ramadan tahun tersebut dikatakan paling bermakna buat Dayang Lohani apabila Siti Nurul Hidayah akhirnya dibenarkan pulang ke kediamannya setelah 18 tahun anaknya itu dirawat di HTAN.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!