SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan di manakah reformasi sistem perundangan negara seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto dan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurutnya, rakyat masih tertunggu-tunggu dengan perubahan tersebut dan mengharapkan yang lebih baik memandangkan PH sentiasa menyalahkan kerajaan lama dalam soal kedaulatan undang-undang atau' rule of law'.
Katanya, harapan rakyat meleset, malah kerajaan lebih teruk apabila mencabuli undang-undang secara terbuka.
"Sebagai contoh apabila Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menggugurkan kes-kes melibatkan pemimpin PH seperti kes Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagi tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo.
"Begitu juga kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di mana pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Seremban Jaya, P Gunasekaran digugurkan.
"Peguam Negara juga bertindak campur tangan dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim sehingga mahkamah memutuskan bahawa beliau telah menghina mahkamah. Malah kes Adib masih tergantung tiada kesudahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO mendakwa dalam kes kapal Equinimity, Thomas melantik peguam luar atas ketidakupayaannya mengendalikan kes tersebut dengan bayaran upah guaman sebanyak RM2 Juta yang ditanggung kerajaan.
"Dalam kes dakwaan video intim mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mendakwa mana-mana pihak walaupun rakaman tersebut tulen.
"Terdapat pengakuan daripada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, namun alasannya pengecaman wajah tidak dapat dipastikan," katanya.
Ismail Sabri turut mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengamalkan 'rule of the jungle' kerana tiada tindakan dikenakan ke atas kesalahan pilihan raya melibatkan PH di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya walaupun terdapat berpuluh laporan kesalahan dibuat.
"SPR juga cuba perkenalkan peraturan yang bertentangan dengan akta itu seperti mengenakan permit untuk kempen ziarah kasih dan rumah ke rumah walaupun akhirnya ditarik balik hasil campur tangan Peguam Negara," katanya.
Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga didakwa berlaku tidak adil dengan melakukan pendakwaan terpilih.
"Mereka yang masih di dalam UMNO mendapat notis untuk penyitaan harta namun yang melompat keluar daripada parti, walaupun pada mulanya terdapat dalam senarai digugurkan oleh SPRM.
"Manakala audio rakaman kononnya suara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin luar negara didedahkan dalam sidang media terbuka walaupun kes sedang berjalan.
Katanya, tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dikritik hampir semua pengamal undang-undang termasuk dari majlis peguam, malah boleh dianggap sebagai subjudis.
"Latheefa sepatutnya tahu jika SPRM mahu mengemukakan keterangan baru, maka pihak pendakwa perlu mendapatkan kebenaran mahkamah," katanya.
"Selain itu, rakyat juga dilihat tidak yakin ADUN Dengkil yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti tidak bermoral bakal dihadapkan ke mahkamah.
Ismail Sabri berkata, Peguam Negara berkemungkinan mengumumkan bahawa pihaknya tidak akan mendakwa ADUN tersebut kerana laporan polis tidak jelas dan terlalu kabur.
"Rakyat sebenarnya tidak yakin kepada sistem perundangan di Malaysia ketika ini. Pemegang kuasa yang bertanggungjawab terhadap kedaulatan undang-undang menodainya tanpa bersembunyi lagi," katanya.