JAKARTA - Seorang wanita memfailkan penceraian terhadap suaminya selepas menerima mas kahwin berupa cincin dan rantai emas palsu semasa majlis pernikahan mereka baru-baru ini, lapor Tribune News.
Pengantin dikenali sebagai Syifa yang juga anak kepada bekas ketua masyarakat di Purwakarta, wilayah Jawa Barat dilaporkan mengetahui penipuan itu selepas cuba menjualnya di sebuah kedai emas.
Akibat rasa ditipu suaminya yang juga seorang anggota pasukan keselamatan, dia telah menfailkan penceraian tersebut.
Lebih memalukan, majlis perkahwinan itu dihadiri bekas Ketua Daerah Purwakarta, Dedi Mulyadi, yang juga sahabat ayahnya.
Dalam video dikongsikan Syifa, suaminya memberitahu majlis akad nikah mereka berjalan lancar.
Bagaimanapun, beberapa lama kemudian penipuan suaminya terbongkar selepas mendapat barang kemas adalah palsu selepas isterinya cuba menjualnya di sebuah kedai emas.
Difahamkan bapa Syifa, Diaudin pernah cuba berbincang dengan mentua anaknya itu mengenai pemberian emas palsu tersebut sebelum ia diketahui umum.
Namun, sehingga kes ini belum selesai, bapanya dilaporkan meninggal dunia pada 3 Mac lalu.
"Ayah saya sudah tiada, bukankah ia akan memuaskan hati awak,' menurut ciapan Syifa di platform media sosial.
Kisah tersebut kini menjadi tular di media sosial selepas dimuat naik di platform TikTok. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28