Scammer pun sibuk cari duit raya

Iklan
Musim perayaan adalah masa yang dinanti-nantikan oleh sindiket penipuan dalam talian untuk melakukan aktiviti jenayah. Gambar hiasan

MUNGKIN ramai tidak sedar bahawa musim perayaan adalah masa yang dinanti-nantikan oleh sindiket penipuan dalam talian untuk melakukan aktiviti jenayah.

Sindiket penipuan di alam maya ini menggunakan janji-janji manis atau jaminan palsu untuk memperdaya mangsa di saat orang ramai sedang bergembira merayakan Aidilfitri.

Iklan
Iklan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi portal mereka turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan ‘scammer Aidilfitri’ serta berbelanja dengan selamat.

MKN menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran luar biasa barangan yang dijual scammer di laman sosial.

Iklan

Selain itu, orang ramai juga diingatkan supaya tidak sesekali memuat turun apa-apa pautan fail andriod package kit (APK) yang dikongsi daripada pihak ketiga kerana ia mungkin ‘jerat’ sindiket penipuan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko menjawab panggilan nombor yang tidak dikenali atau meragukan.

Iklan

Terdapat juga penjenayah yang menyamar sebagai ejen jualan pihak bank dan meminta mangsa mendedahkan nombor kad pengenalan kononnya bagi tujuan pengesahan.

Ejen palsu ini akan menggunakan talian telefon bimbit untuk membuat panggilan kepada pelanggan bank seterusnya meminta pengesahan, biasanya empat angka akhir kad pengenalan mangsa.

Ramai yang keliru apabila dihubungi oleh penjenayah kerana pihak bank juga menggunakan perkhidmatan ejen yang meminta pengesahan identiti menggunakan nombor kad pengenalan.

Justeru, Ramli berkata, pihak bank digesa supaya mencari alternatif lebih baik bagi berhubung dengan pelanggan untuk mengelakkan kekeliruan, seterusnya ditipu sindiket penipuan.

"JSJK menasihatkan supaya tidak mengesahkan sebarang maklumat peribadi kerana orang ramai berisiko menjadi mangsa scammer.

"Pihak bank disarankan mencari kaedah lain yang lebih efektif untuk berurusan dengan pelanggan terutama yang melibatkan panggilan telefon,” kata beliau.

Selain scammer, Ramli turut mendedahkan, terdapat juga sindiket menawarkan pinjaman dengan kadar faedah rendah dan kelulusan segera pada musim perayaan.

Sindiket pinjaman ini dikesan mengambil kesempatan dalam musim perayaan dengan menyasarkan mereka yang terdesak untuk menggunakan wang.

Bagaimanapun mangsa tidak tahu bahawa tindakan itu bukan satu jalan penyelesaian, sebaliknya permulaan kepada masalah yang panjang.

Medium media sosial seperti Facebook, WhatsApp serta Telegram antara digunakan sindiket untuk memaparkan iklan pinjaman bagi memerangkap mangsa.

Ada kes direkodkan, mangsa meminjam RM1,000 tapi selepas ditolak dengan beberapa kos kononnya sebagai wang proses dan sebagainya, wang yang peminjam dapat hanya RM450. Tapi disebabkan caj dan kadar faedah tersembunyi, kadar pinjaman RM1,000 itu meningkat kepada RM5,000.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan segera hubungi bank atau National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika menyedari telah menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Orang ramai juga boleh membuat semakan akaun bank dan nombor telefon yang terlibat dengan jenayah penipuan di https://semakmule.rmp.gov.my.

Juga boleh melayari akaun media sosial rasmi JSJK PDRM dan Cyber Crime Alert RMP untuk maklumat terkini jenayah komersial.

Jangan jadikan kegembiraan menyambut musim perayaan ini bertukar kepada episod air mata akibat dijerat ‘scammer Aidilfitri’.

* Ahmad Ismadi Ismail ialah Wartawan Meja Jenayah

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28