Jumlah bukan keutamaan, yang penting kualiti

Iklan
Tugas berat menanti Tang Jie (kiri) dan Ee Wei dalam saingan Sukan Olimpik Paris pada Julai depan. Foto Agensi

HANYA berbaki kira-kira dua bulan lagi sebelum ‘pintu’ Sukan Olimpik 2024 ditutup, timbul persoalan dalam kalangan peminat sukan tanah air mengenai jumlah atlet yang akan membarisi kontinjen Malaysia pada temasya di Paris itu nanti.

Ketika ini hanya enam atlet negara sudah mengesahkan slot Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan. Jumlah itu dijangka bertambah menjelang tarikh akhir kelayakan Olimpik pada Jun ini.

Iklan
Iklan

Enam atlet berkenaan ialah penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat).

Di atas kertas pula, dua jaguh berbasikal trek negara - Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom sudah layak bertanding pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi acara keirin dan pecut individu.

Iklan

Melihatkan jumlah atlet yang telah layak tanpa mengambil kira ‘senarai menunggu’ termasuk daripada skuad badminton, Malaysia dijangka menghantar kontinjen paling kecil dalam tempoh 36 tahun di pentas Olimpik kali ini. Jika mengikut jangkaan Majlis Sukan Negara (MSN), kontinjen Malaysia yang masih lagi dalam misi memburu pingat emas sulung Olimpik, sekurang-kurangnya bakal disertai 20 hingga 25 atlet.

Untuk rekod, Malaysia dibarisi 30 atlet pada Olimpik Tokyo 2020, berbanding masing-masing 32 dan 29 atlet pada Rio 2016 dan London 2012.

Iklan

Penyertaan kontinjen Malaysia paling sedikit dalam sejarah penyertaan Sukan Olimpik adalah pada edisi 1998 di Seoul, Korea Selatan dengan hanya sembilan atlet, manakala paling ramai di Olimpik Tokyo 1964 dengan 62 atlet.

Namun, berapa sekalipun jumlah atlet negara yang bakal bertanding di Paris nanti, itu tidak lagi menjadi pokok pangkalnya. Paling utama kualiti yang dimiliki setiap atlet bagi menjelmakan kilauan emas Sukan Olimpik.

Angka dan kuantiti kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 bukanlah keutamaan kerana yang penting mereka mampu membawa pulang pingat emas ke tanah air.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28