Dua beradik maut kemalangan dengan lori simen

Iklan
Anggota bomba mengeluarkan dua mangsa daripada kenderaan Proton Exora, yang tersepit di ruang pemandu dan penumpang belakang.

SRI AMAN - Dua beradik hanya sempat meraikan Aidilfitri bersama selama enam hari sebelum terkorban dalam kemalangan maut di Jalan Stirau, Stumbin, di sini, semalam.

Kedua-duanya menemui ajal apabila kenderaan jenis Proton Exora yang dipandu mangsa, Joll Mohamad, 56, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori simen.

Iklan
Iklan

Turut maut, kakaknya, Latifah, 62, yang menumpang kenderaan tersebut.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.27 petang dan segera mengatur gerak sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dari Balai Sri Aman dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi.

Iklan

"Setibanya di lokasi, pasukan segera mengeluarkan dua mangsa daripada kenderaan Proton Exora, yang tersepit di ruang pemandu dan penumpang belakang.

"Kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh paramedik Hospital Sri Aman," katanya.

Iklan

Seorang lagi mangsa di dalam kenderaan berkenaan berjaya dikeluarkan lebih awal dan segera dikejarkan ke Hospital Sri Aman oleh paramedik Angkatan Pertahanan Awam.

Lori simen terhumban ke dalam parit.

Turut tersepit, kata Henderi lagi, pemandu lori simen yang berusia 43 tahun, setelah kenderaannya terhumban ke dalam parit.

"Mangsa yang cedera ringan berjaya diselamatkan setelah lori terbabit ditarik keluar menggunakan sebuah jengkaut," katanya.

Tambah Henderi, kedua-dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28