Suspek kes tembak di KLIA direman tujuh hari

Iklan
Suspek yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA pada hujung minggu ditahan reman selama tujuh hari.

KOTA BHARU - Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini pada Rabu membenarkan suspek yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hujung minggu lalu ditahan reman selama tujuh hari.

Perintah reman hari ini sehingga 22 April (Khamis) itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas suspek.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, suspek yang memakai baju lokap bewarna ungu dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu dengan iringan ketat anggota polis sekitar jam 8.30 pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi Ahad, seorang pengawal peribadi kepada isteri suspek tercedera akibat terkena tembakan tersebut.

Iklan

Akibat kejadian itu, pengawal peribadi berkenaan dikejarkan ke hospital berdekatan dan kini dilaporkan stabil.

Pada Isnin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berusia 38 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu, hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman

Iklan

Menurut Mohd Shuhaily, suspek berada dalam keadaan sihat secara fizikalnya.

Terdahulu media melaporkan, selepas melarikan diri lebih daripada 36 jam, akhirnya suspek yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA, Sepang ditahan polis, pada Isnin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata suspek ditahan di sebuah lokasi di Kota Bharu, kira-kira jam 3 petang semalam. - Awani

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28