Muhyiddin mohon lima hakim dengar permohonan semakan

Iklan
Muhyiddin

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon lima hakim untuk mendengar permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan yang mengarahkan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dihadapi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan pemohon menghantar surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan untuk pertimbangannya.

Iklan
Iklan

Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin ketika dihubungi selepas pengurusan kes permohonan tersebut mengesahkan semua perkembangan baharu berkenaan.

Mahkamah menetapkan 9 Julai depan untuk prosiding pendengaran permohonan berkenaan.

Iklan

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk mendengar bantahan awal dan merit difailkan pihak pendakwaan selaku responden.

Susulan itu, afidavit jawapan responden difailkan pada atau sebelum 26 April ini sementara afidavit balasan Muhyiddin selaku pemohon difailkan pada atau sebelum 10 Mei, manakala hujahan bantahan awal dan merit difailkan pada atau sebelum 9 Jun.

Iklan

Sekiranya terdapat hujahan balasan, perkara itu perlu difailkan pada atau sebelum 24 Jun.

Pada 27 Mac lalu, Muhyiddin mengemukakan permohonan tersebut, susulan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Pagoh ini, dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, untuk tindakan lanjut.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memfailkan notis usul di pejabat pendaftar, Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, melalui Tetuan Chetan Jethwani & Company, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Menerusi notis usul permohonan itu, Ahli Parlimen Pagoh tersebut memohon mahkamah menyemak keputusan yang telah disampaikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk SM Komathy Suppiah pada 28 Februari lalu.

Pada hari berkenaan, rayuan responden telah dibenarkan yang mana keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Ogos 2023 telah diketepikan.

Bekas Perdana Menteri ini memohon untuk mengetepikan keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan perintah yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 28 Februari, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan permohonan pendakwa raya, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan kes salah guna kedudukan untuk suapan RM232.5 juta bagi Parti Bersatu, pada 15 Ogos tahun lepas.

Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pemimpin Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28