CYBERJAYA - Pengawal peribadi yang ditembak dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Muhammad Nur Hadith Zaini, 37, telah dibawa ke bilik bedah Hospital Cyberjaya bagi menjalani proses pembedahan pada jam 11.30 pagi Selasa.
Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, yang berada di hospital berkenaan sejak awal pagi Selasa bagi menunggu sehingga proses pembedahan suaminya selesai.
Siti Noraida yang merupakan ibu kepada tiga anak itu berkata, diharap orang ramai bersama-sama mendoakan semoga pembedahan ini berjaya dan berjalan lancar.
"Pada jam 11.30 pagi, suami masuk ke bilik bedah. Saya telah berada di hospital sejak jam 8 pagi.
"Mohon doa daripada semua semoga pembedahan berjalan lancar," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada Ahad, media melaporkan seorang lelaki bertindak nekad melepaskan tembakan kepada isterinya sebelum terkena individu lain dalam kejadian dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi.
Mangsa dipercayai mengalami kecederaan di bahagian perut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Difahamkan proses pembedahan yang dilakukan oleh pihak hospital itu dilakukan bagi melihat keadaan organ Muhammad Nur Hadith yang lain termasuk buah pinggang dan sebagainya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28