Pembinaan kolam selam tempur Kem Iskandar dijangka siap Jun

Iklan
Onn Hafiz - Foto Bernama

ISKANDAR PUTERI - Projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing yang mengalami kelewatan sudah diberikan enam kali lanjutan masa (EOT), sejak empat tahun lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan pembinaan kolam selam tempur tersebut dijangka siap pada Jun depan.

Iklan
Iklan

"Kerajaan Johor menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim melihat projek-projek infrastruktur melibatkan agensi-agensi supaya dapat dilakukan dengan cepat.

"Dalam kes di Mersing ini, saya difahamkan EOT sudah enam kali kepada kontraktor sejak 2020.

Iklan

"Saya juga telah berhubung dengan JKR yang mengelolakan projek tersebut dan difahamkan projek dijangka siap pada Jun.

"Projek ini akan dipantau lebih dekat supaya isu kelewatan tidak berulang.

Iklan

"Saya juga melibat banyak projek yang mendapat EOT, dari segi pengurusan perlu ada pemantauan agar kos tidak meningkat dan projek dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Perkhidmatan Bas Elektrik Rentas Sempadan Pertama antara Malaysia-Singapura melalui Tambak Johor di sini pada Selasa.

Onn Hafiz (tengah) lancarkan Perkhidmatan Bas Elektrik Rentas Sempadan Pertama antara Malaysia-Singapura melalui Tambak Johor di Medini Mall pada Selasa.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon.

Sebelum itu pada Isnin,Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah, kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan.

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata, kontraktor projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar diberikan tiga kali EOT disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Manakala, tiga lagi EOT disebabkan arahan perubahan (VO) yang mengakibatkan pertambahan kos projek.

"Jika melihat kepada kemajuan projek pembinaan itu, ia sudah mencapai tahap 98 peratus, hanya tinggal dua peratus sahaja lagi untuk disiapkan.

"Ia melibatkan kerja pemasangan jubin, kemasan jalan, penyediaan perabot serta penghadang dan pintu.

"Daripada kos keseluruhan RM23.7 juta yang diperuntukkan, sebanyak RM22.2 juta telah dibelanjakan bagi menyiapkan projek tersebut," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28