PARIT BUNTAR - Kerajaan negeri sudah menerima laporan siasatan insiden maut melibatkan kejadian bongkah batu kapur jatuh menimpa seorang lelaki di Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling berhampiran Gunung Rapat, Ipoh.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, hasil siasatan sudahpun dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak pada Isnin.
Menurutnya, hasil siasatan dan syor dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak yang akan bersidang pada Rabu.
"Esok (Rabu) kita akan dapatkan taklimat semua ini (hasil siasatan) dan MMK akan buat keputusan secara rasmi berdasarkan hasil siasatan itu. Sebab jawatankuasa itu tak boleh buat keputusan, hanya dapatkan hasil siasatan.
"MMK akan buat keputusan macam mana. Punca kejadian yang berlaku sudah dikenal pasti, cumanya sekarang apakah langkah-langkah yang kita perlu lakukan untuk mengelak kejadian berulang," katanya kepada pemberita
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera di LSS4 Tali Air di sini pada Selasa.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sze Yee berkata, MMK akan memutuskan garis panduan yang akan diguna pakai bukan sahaja untuk pengusaha di lokasi tragedi berkenaan tetapi semua pengusaha pelancongan kaki bukit dan di dalam gua di negeri ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling masih lagi ditutup kepada orang ramai.
Jelasnya, pembukaan semula kawasan tersebut hanya akan dilakukan selepas kerja-kerja mitigasi selesai dilaksanakan oleh pihak pengusaha.
Sinar Harian pada 8 April lalu melaporkan seorang pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu seberat lima kilogram ketika mengunjungi sebuah kawasan pelancongan dekat Gunung Rapat di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan kejadian itu diterima sekitar jam 11.30 pagi melibatkan lelaki warga tempatan berusia 44 tahun.
Susulan kejadian itu, kawasan pelancongan tersebut ditutup sementara, sehingga laporan penuh berhubung kejadian maut berkenaan disiapkan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28