Pertimbang naik gaji, elaun jururawat, atasi masalah kekosongan

Iklan
KKM digesa pertimbangkan cadangan naikkan gaji dan elaun jururawat bagi atasi masalah petugas berkenaan berhenti kerja. (Gambar kecil: Lawrence)

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk mempertimbangkan cadangan menaikkan gaji dan elaun jururawat bagi mengatasi masalah petugas berkenaan berhenti kerja.

Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low Ah Keong berkata, jika kerajaan tidak bertindak untuk mengisi kekosongan jururawat, ia akan memberi kesan kepada petugas sedia ada dari segi bebanan kerja, tekanan masa, tenaga dan mental.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hal berkenaan akan memicu kepada kualiti perkhidmatan yang rendah di samping meningkatkan keinginan untuk berhenti kerja.

"Kerajaan hendaklah mempertimbangkan untuk menaikkan gaji dan elaun jururawat, walaupun bukan dengan margin yang besar dalam masa terdekat.

Iklan

"Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlu memperbaiki persekitaran tempat kerja seperti menyediakan tempat rehat dan makanan ketika mereka melakukan kerja lebih masa, tempat asuhan dan sebagainya sebagai langkah permulaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, sebanyak 6,896 kekosongan jururawat di KKM dalam tempoh empat tahun bermula negara serang wabak Covid-19.

Iklan

Menurut laporan itu, antara faktor kekosongan tersebut adalah disebabkan tekanan persekitaran tempat kerja dan gaji yang rendah sehingga ramai petugas mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

Dalam pada itu, Lawrence turut menyarankan agar kerajaan menawarkan jawatan kontrak menarik kepada jururawat yang telah bersara atau berhenti kerja, serta mengambil pekerja sambilan bagi kerja kurang teknikal bagi mengatasi kekosongan dalam jangka masa pendek.

"Saya berharap kerajaan menerusi KKM sentiasa bekerjasama rapat dan mendengar pandangan pelbagai pihak seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), pakar-pakar perubatan serta mereka yang berkecimpung di dalam bidang perubatan ini.

"Pastikan kumpulan penting ini sentiasa diberi ruang dalam sesi libat urus supaya setiap dasar atau keputusan yang hendak dilaksanakan mengambil kira pelbagai sudut secara menyeluruh demi kepentingan negara,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28