KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar tampil memberi keterangan kepada polis di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman, pada Selasa.
Mohd Tamrin tiba kira-kira 10.30 pagi bagi diambil keterangan berhubung catatan di blognya yang bertajuk '10 tahun lagi, DAP akan jadi Tuan' pada 4 April lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Sebelum ini media melaporkan Tamrin, 74, yang juga anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba menerima panggilan telefon daripada polis berhubung siasatan membabitkan catatan di blognya yang 'meramalkan' masa depan orang Melayu dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Difahamkan, seorang pegawai dari USJT Bukit Aman telah memohon kerjasama daripada Mohd Tamrin berhubung siasatan berkaitan kenyataan di blog tersebut.
Sementara itu, Mohd Tamrin berkata, dia dipanggil untuk tampil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan polis berhubung artikelnya itu.
Kata beliau, ada beberapa isu dikenal pasti menjadi penyebab dia dipanggil memberi keterangan.
Menurut beliau, pertamanya disebabkan ramalan yang dikeluarkan oleh dirinya di dalam blog tersebut.
"Pada saya ramalan itu bukan satu kesalahan serius kerana ia sekadar ramalan," katanya yang ditemani peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali ketika ditemui di hadapan Bukit Aman pada Selasa.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28