Masalah tayar punca bas Rapid KL bergerak senget

Iklan
Keadaan bas Rapid KL yang bergerak dalam keadaan menyenget ke kanan disebabkan masalah tayar dalam kejadian Sabtu.

KUALA LUMPUR - Masalah 'air bellow suspension' yang bocor di bahagian tayar antara punca bas Rapid KL dinaiki tiga penumpang bergerak dalam keadaan menyenget seperti tular di media sosial.

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam satu kenyataan berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu sekitar jam 6.45 petang membabitkan bas laluan 202 dalam perjalanan dari Hab Wira Damai menuju ke Lebuh Ampang melalui Gombak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemandu bas telah mengesan keadaan bas tersebut dan memberhentikan bas di hentian terdekat iaitu KL913 Diamond Square bagi menurunkan penumpang dan mendapatkan bantuan teknikal daripada Pusat Kawalan Operasi Rapid Bus.

"Pihak Kawalan Operasi Rapid Bus mendapati bahawa bas tersebut tidak lagi sesuai untuk operasi disebabkan 'air bellow suspension' yang bocor di bahagian tayar semasa operasi.

Iklan

"Bas tersebut telah ditamatkan perkhidmatan serta-merta dan laluan tersebut telah disambung oleh bas yang berikutnya," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa, tular video memaparkan sebuah bas Rapid KL bergerak dalam keadaan menyenget di bahagian kanan sewaktu melalui Jalan Gombak.

Iklan

Video tersebut dikongsikan pengguna yang melalui jalan sama sebelum dikongsikan di media sosial.

Menerusi kenyataan sama, Rapid Bus memohon maaf di atas ketidakselesaan yang timbul di kalangan orang ramai susulan kejadian tersebut.

"Rapid Bus turut memberi jaminan keselamatan dan keselesaan penumpang adalah menjadi keutamaan syarikat.

"Pihak kami tidak akan mengoperasikan bas yang tidak memenuhi piawaian," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28