SHAH ALAM - Tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pulang ahli keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman daripada Gaza amat dihargai.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, usaha tersebut membolehkan Muhammad Nadir disatukan semula dengan keluarganya selepas berpisah selama enam bulan.
Menurutnya, hubungan baik Anwar dengan Mesir berkenaan turut menjadi asbab kepada kepulangan ahli keluarga yang dinanti-nantikannya.
"Terima kasih atas kesungguhan dan usaha Anwar bagi memastikan keluarga saudara Nadir Al-Nuri disatukan semula, tentu sekali ia memerlukan kepada perbincangan serta hubungan baik dengan Mesir khususnya bagi memastikan misi ini berjaya.
"Tahniah juga kepada saudara Nadir, tentunya ini hadiah hari raya yang paling berharga untuk beliau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Muhammad Nadir mendedahkan bahawa Anwar merupakan watak utama dalam ‘misi gila’ yang membawa keluarganya keluar dari Gaza menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur di atas kepulangan keluarga dari Palestin ke pangkuannya di tanah air.
Bagaimanapun, Muhammad Nadir berkata, ketika Ahmad Farhan menghubungi pada 29 Ramadan itu, nadanya berbeza dan beliau turut memaklumkan untuk ke satu lokasi khas, namun hanya dibenarkan hadir bersama Ahmad Sani sahaja.
"Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie. Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan.
"Bagaimanapun, secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana, ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain,” kongsinya.
Ujar Muhammad Nadir, proses membawa pulang keluarganya itu cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1,001 cabaran tersirat, namun tidak semua beliau berhak untuk kongsikan.