Sanusi cadang tanam padi huma berbanding ubi kayu

Iklan
Sanusi (kiri) dan Zakaria meninjau penanaman padi huma di Kampung Radik, Sik, Kedah.

SIK - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyarankan penduduk negeri itu mengusahakan tanaman padi huma sebagai alternatif menambah bekalan beras putih tempatan (BPT) sedia ada berbanding ubi kayu.

Menurut beliau, nasi yang dihasilkan daripada beras sama ada padi biasa atau huma, lebih mengenyangkan berbanding makanan ubi kayu seperti yang dicadangkan sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Daripada tanam ubi kayu, baik tanam padi huma, ubi kayu ni kembung, perut angin... padi huma sedap, kejap perut," katanya ketika merasmikan benih padi huma di Kampung Radik di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman dan Mufti Negeri Kedah, Datuk Fadzil Awang.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mencadangkan, rakyat perlu melakukan perubahan dengan tidak hanya bergantung kepada nasi sebagai sumber utama karbohidrat.

Jelas Johari, sumber karbohidrat seperti ubi kayu boleh dijadikan alternatif sementara menunggu isu bekalan BPT diselesaikan di negara ini.

Iklan

Dalam masa sama, Sanusi berkata, kerajaan negeri sedang berusaha menjadikan daerah Sik sebagai hub padi huma sebagai alternatif tanah sawah sedia ada.

Hasil padi huma yang diusahakan di Kampung Radik, Sik, Kedah.

"Selain mengusahakan tanah-tanah sawah terbiar bagi memperkasakan lagi usaha keterjaminan makanan rakyat di negeri Kedah, LZNK juga kini sedang merancang untuk meneroka satu lagi alternatif lain dalam penanaman padi di negeri Kedah iaitu padi huma atau dikenali sebagai padi bukit.

"Kita usahakan selain pada padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), luar Mada, kita juga usahakan padi atas darat (huma)," katanya.

Jelas beliau, tanaman padi huma yang diperkenalkan meliputi enam vareiti benih yang telah ditanam sebagai percubaan bermula Disember lalu antaranya tangkai langsat, jarum galah, tok ya, bario, padi perang dan padi hitam yang mana tempoh tuaian mencecah antara tiga bulan 10 hari hingga enam bulan.

Menurut Sanusi, permintaan tinggi terhadap padi huma adalah luar biasa memandangkan ia mempunyai rasa enak dan berbau wangi.

"Permintaan luar biasa, mahal pun orang beli... saya diberitahu pasaran di Kuala Lumpur RM50 sekilo orang beli juga permintaan terlalu tinggi," katanya.

Sanusi (tengah) melihat hasil tuaian beras daripada padi huma di Kampung Radik, Sik, Kedah.

Sementara itu, Zakaria berkata, LZNK akan membeli semula semua hasil padi yang diperoleh oleh peserta, dengan sebahagian daripadanya akan disimpan oleh peserta asnaf tersebut untuk keperluan makanan keluarga masing-masing secukupnya untuk tempoh enam bulan sehingga satu tahun.

"Para peserta boleh memproses padi masing-masing menjadi beras secara kendiri melalui mesin yang telah disediakan oleh LZNK secara percuma yang kini ditempatkan di dalam kawasan Masjid As-Salam," katanya.

Terdahulu, Sanusi turut melawat kawasan Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) LZNK Daerah Sik membabitkan lebih kurang 12 hektar di Chepir di sini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28