Tiga sahabat maut nahas selepas pulang makan nasi berlauk

Iklan
Lokasi kemalangan yang mengorbankan tiga penunggang motosikal pada tengah malam, Selasa.

KOTA BHARU - Tiga sahabat maut dalam kemalangan konvoi bermotosikal ketika pulang dari menjamu selera di sebuah kedai makan nasi berlauk di Ketereh, di sini pada tengah malam Selasa.

Kejadian jam 12.30 tengah malam itu mengorbankan pekerja kilang Rasa Pop milik Khairul Aming, Azman Uji, 21, dan pelajar GiatMara Rantau Panjang, Ahmad Izuddin Ahmad Jhosman, 21, di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Seorang lagi mangsa, Muhammad Faiz Mohd Nasarudin,19, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima laporan berkaitan kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 9.9, Lebuh Raya Ketereh-Kota Bharu pada jam 12.50 tengah malam.

Iklan

Menurut beliau, siasatan mendapati kemalangan melibatkan sekumpulan penunggang motosikal yang datang dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu secara berkumpulan.

Dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. (Gambar kecil: Mohd Rosdi)

"Salah sebuah motosikal yang terlibat juga melanggar belakang sebuah kereta sedang berhenti berada di laluan kecemasan sebelah kiri menghala ke Kota Bharu.

Iklan

"Kejadian menyebabkan dua penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Ujar Mohd Rosdi, tiga lagi penunggang motosikal cedera parah dan masih dirawat di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Tambahnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan lurus dan gelap kerana tiada lampu jalan.

"Kemalangan dipercayai berpunca motosikal yang dipercayai ditunggang dalam kelajuan tinggi sehingga menyebabkan tidak dapat bertindak awal selain kesukaran melihat dalam suasana gelap.

"Mangsa yang meninggal dunia mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat,” ujarnya.

Mohd Rosdi berkata, pemandu kereta yang terlibat tiada mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian kemalangan ini tampil hadir untuk membantu siasatan di BSPT, IPD Kota Bharu atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Trafik Inspektor Nurul Izzati Mohammad Rosli di talian 09-7752315.

"Polis juga menggesa orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya dan mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas yang ditetapkan,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28