TEL AVIV - Israel sememangnya tidak mengambil pengajaran daripada tembakan amaran dilancarkan Iran pada Sabtu lalu selepas ia dengan angkuh menyatakan akan bertindak balas meskipun sudah berulang kali diberi peringatan tegas oleh Teheran.
Perdana Menteri, Benjamin pada Isnin memanggil Kabinet perang untuk bermesyuarat buat kali kedua dalam tempoh kurang 24 jam setelah ia berasa 'tertampar' dengan operasi hibrid tersebut.
Susulan desakan semakin meningkat dalam kalangan pemimpin ekstremis rejim Tel Aviv, Ketua Turus Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Herzi Halevi berkata, mereka kononnya tidak akan berdiam diri.
"Pelancaran peluru berpandu, misil cruise dan dron ke wilayah Israel bakal berdepan serangan balas kami," ujarnya di pangkalan tentera udara Nevatim di selatan Israel tanpa memberikan butiran lanjut.
Ketika ini, beberapa negara Barat menggesa rejim Tel Aviv supaya tidak mengeruhkan lagi konflik di Asia Barat yang dikhuatiri akan mencetuskan konfrontasi lebih meluas.
Teheran memaklumkan Operasi Janji Benar itu adalah 'hukuman' buat Israel kerana membedil Kedutaan Iran di Damsyik pada 1 April lalu dan ia juga tidak berniat untuk mencetuskan perang dengan seteru lama mereka.
"Kita berada di 'pinggir tebing berbahaya'. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan menekan brek dan menggunakan gear undur,” menurut ungkapan tersirat Wakil Tertinggi untuk Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Canselor Jerman, Olaf Scholz dan Setiausaha Luar Britain, David Cameron juga mengulangi gesaan sama dibuat Amerika Syarikat (AS) selaku sekutu kuat Israel dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.
"Rantau Asia Barat mahupun dunia tidak lagi mampu menghadapi peperangan. Kini, masanya untuk meredakan ketegangan itu,” tegas Guterres pada lewat malam Ahad.
Ketika Barat terus mengkritik Iran, Rusia pula mengambil pendirian berbeza terhadap Teheran yang merupakan sekutunya, namun Kremlin turut menzahirkan kebimbangan terhadap risiko peningkatan konflik di rantau berkenaan. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28