Piala Thomas: Penyertaan Tze Yong dibincang semula

Iklan
TZE YONG

STATUS pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong kembali mencetuskan resah apabila dikhabarkan mungkin tidak dapat bersama skuad negara ke Piala Thomas 2024 di Chengdu, China pada 27 April hingga 5 Mei ini.

Ia berikutan makluman daripada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang mengatakan pemain di ranking ke-18 perlu menjalani Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) hari ini bagi menentukan kecergasannya.

Iklan
Iklan

"Saya akan bincang dengan Michelle Chai (Pengarah Pentadbiran ABM). Setakat ini tidak boleh cakap dia tak pergi (Piala Thomas) sebab kita sebagai jurulatih dan pihak pengurusan sudah buat yang termampu.

"Kita belum dapat apa-apa maklumat (dari MRI dan doktor) kerana pada perjumpaan lepas, jurulatih kata Tze Yong mahu main. Hendrawan beritahu doktor di Institut Sukan Negara (ISN) sendiri keliru dengan situasi (kecederaan) Tze Yong sekarang,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di ABM Bukit Kiara hari ini.

Iklan

Tze Yong disahkan mengalami kecederaan belakang pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, pada Februari lepas dan telah menjalani pembedahan.

Pemain berusia 23 tahun itu terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China baru-baru ini sekali gus terlepas peluang membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.

Iklan

Bagaimanapun pada minggu lepas, BAM mengumumkan Tze Yong antara barisan pemain perseorangan lelaki negara yang akan menggalas tugas di Piala Thomas.

Rexy berkata jika penukaran pemain dibenarkan, tempat Tze Yong mungkin digantikan dengan seorang lagi pemain negara Eogene Ewe yang menduduki ranking ke-201 dunia.

Sementara itu, Rexy memaklumkan gandingan juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei akan memulakan latihan Piala Thomas esok manakala Nur Izzudin Rumsani menyertai pasukan pada Khamis ini.

BAM sebelum ini menyenaraikan Lee Zii Jia, Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Justin Hoh, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Muhammad Haikal Nazri bagi saingan Piala Thomas 2024.

Malaysia yang diletak selaku pilihan kelima kejohanan edisi 2024 itu diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah yang juga juara 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria bagi saingan Piala Thomas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!